My Add

Wednesday 26 December 2012

Sambutan Krismas meriah di seluruh negara

KUALA LUMPUR, SELASA, 25 Disember, 2012: Perayaan Krismas disambut secara sederhana, namun meriah oleh penganut Kristian di Malaysia ketika sesetengah mereka terpaksa berhadapan dengan situasi banjir yang kini melanda Pantai Timur.

Seperti kebiasaan, mereka menghadiri acara keagamaan di gereja pada sebelah pagi sebelum menghabiskan masa bersama ahli keluarga dan sahabat handai.

Keadaan trafik di ibu negara lancar berikutan ramai pulang ke kampung halaman sama ada untuk menyambut Krismas atau menghabiskan cuti tahunan.

Kesempatan cuti Krismas digunakan penduduk Kuala Lumpur serta warga asing untuk mengunjungi pusat beli-belah dan lokasi tumpuan seperti Kuala Lumpur City Centre.

Di SABAH, Krismas disambut meriah dengan penganjuran beberapa majlis rumah terbuka pemimpin negeri yang dihadiri masyarakat pelbagai agama dan pelancong asing.

Antara yang mengadakan rumah terbuka Krismas ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) merangkap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, sambutan perayaan utama seperti Krismas merupakan masa terbaik untuk mengukuhkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Menerusi amalan kunjung-mengunjung ke rumah terbuka, kita dapat mengeratkan hubungan sesama kita dan sudah tentu kita dapat bekerjasama membangunkan negara Malaysia dan Sabah seperti dalam konsep kita sentiasa bekerjasama dalam Barisan Nasional," katanya ketika ditemui di rumah terbuka Upko di Dewan Tun Fuad Stephens, Penampang yang dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung.

Terdahulu, Musa turut mengiringi Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menghadiri rumah terbuka PBS di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut (KDCA), juga di Penampang.

Pairin ketika ditemui pemberita di rumah terbukanya yang dihadiri lebih 5,000 orang, menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa terbuka untuk berkongsi harapan serta pandangan masyarakat Kristian.

Pairin yang juga Huguan Siou (pemimpin tertinggi) masyarakat Kadazandusun Murut berkata, pendekatan bersifat 'meyakinkan' itu membawa makna bahawa Najib sentiasa terbuka dalam pandangan beliau selain menunjukkan keprihatinan mendekati masyarakat majmuk di negara ini.

Seorang ahli perniagaan dari Tawau, R. Balachandran berkata, dia mengambil peluang mengunjungi rumah terbuka Pairin yang disifatkannya sebagai sesuatu yang baik dalam mengekalkan perpaduan masyarakat pelbagai bangsa.

Di SARAWAK, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka Krismas di Dewan Tan Sri Kalong di Betong.

Jabu berkata, majlis itu adalah unik dan sudah menjadi tradisi khususnya di Sarawak.

"Hari ini kita dapat lihat pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dan mereka menunjukkan tanda hormat-menghormati antara kaum dan agama di negeri ini," katanya pada majlis yang dihadiri 2,000 pengunjung itu.

Di PERLIS, penganut Kristian menyambut hari Krismas secara sederhana dalam cuaca tidak menentu.

Pusat perniagaan beroperasi seperti biasa dan cuti sempena Krismas dimanfaatkan oleh penduduk untuk kegiatan kekeluargaan termasuk berkelah di lokasi pelancongan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment