My Add

Sunday 2 December 2012

Wujudkan mekanisme tangani seleweng akidah

KUALA LUMPUR, SABTU, 01 Disember, 2012:.Seorang perwakilan UMNO hari ini menggesa parti itu mewujudkan mekanisme untuk menangani gejala penyelewengan akidah umat Islam di negara ini yang giat dilakukan sesetengah pihak sekarang.

Wakil Kelantan Mohd Afandi Yusoff berkata mekanisme itu harus memantau kegiatan sedemikian yang mampu menggugat kesucian dan keharmonian agama Islam serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit.

Gesaan itu dibuat beliau ketika membentangkan usul agama dan pendidikan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2012, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Selasa lepas, Timbalan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan secara serentak perhimpunan tiga sayap UMNO, membidas tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetengahkan ideologi songsang atas nama politik baharu, yang meliputi kebebasan individu mengatasi lingkungan agama, budaya dan moral.

Dalam usulnya itu, Mohd Affandi menggesa UMNO memperhebatkan program dakwah dan keagamaan menerusi semua bentuk media bagi mengubah persepsi buruk terhadap Islam, serta memperbanyakkan peluang untuk pembabitan golongan berpendidikan agama dalam parti.

Ketua Pemuda UMNO Rantau Panjang itu juga mahu parti menyelaras dan memperkasa kedudukan serta fungsi institusi agama di semua peringkat sambil menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan sultan sebagai ketua agama, serta mempertahankan masjid dan surau sebagai tempat penyatuan umat Islam.

Mohd Afandi turut mencadangkan supaya media elektronik memperbanyak slot agama yang dengan mengundang tokoh-tokoh agama daripada UMNO bagi membicarakan soal agama. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment