My Add

Sunday, 19 January 2014

Pembangkang diselar main isu harga barang

GOPENG, SABTU, 18 Januari, 2014: Pembangkang dibidas kerana terus mempolitikkan isu kenaikan harga barang semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat, namun tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi itu terutamanya di negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah kerajaan turun padang sebaliknya bukanlah satu gimik, tetapi bagi mengatasi bebanan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat.

Menurut beliau, tindakan pihak pembangkang yang sengaja menggembur-gembur seolah-olah keadaan ekonomi negara telah hancur di blog-blog, tidak seharusnya dipercayai kerana telah diputar belit bagi memperlihat ketidakupayaan kerajaan dalam mentadbir negara.

"Kalau benar harga barang ini membebankan rakyat, kerajaan-kerajaan di bawah pakatan (pembangkang) di Selangor dan Kelantan, pimpinlah bagaimana hendak mengurangkan harga barang di situ.

"Langkah (pemantauan barang) ini, kerajaan Persekutuan yang ilhamkan bagi memastikan harga berpatutan. Jadi, rakyat harus menimbang, antara kerajaan itu dan ini, yang mana boleh dilihat sebagai satu landasan dan selalu memberi bantuan kepada rakyat?

"Banyak negara terpaksa berhutang kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Masa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan pun berdepan masalah, malah, beliau yang minta kita supaya pinjam daripada IMF," katanya.

Mohd. Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan meninjau harga barang di Pasar Raya Besar Mydin di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment