Pencuri sembunyi dalam tikar sebelum diberkas
KUANTAN, JUMAAT, 17 Januari, 2014: Seorang pemuda yang memecah masuk rumah Ketua Biro akhbar Sinar Harian Pahang, Aswany Omar, 37, terpaksa bersembunyi dalam gulungan tikar bagi mengelak daripada diberkas oleh penduduk kampung yang menyedari kejadian itu.
Namun, tindakan itu membawa padah kepadanya apabila akhirnya ditangkap oleh orang ramai dan polis yang menemuinya dalam gulungan tikar sambil memegang sebilah gunting pokok di stor rumah sewa berkenaan kira-kira pukul 9 malam.
Kehadiran suspek sebelum itu dikesan oleh rakan serumah Ketua Biro tersebut yang juga wartawan akhbar berkenaan, Erma Yusnida Jusoh, 31, ketika pulang pada pukul 6.15 petang.
Aswany berkata, Erma Yusnida terkejut apabila menemukan sebuah motosikal jenis Honda Wave di rumahnya di Taman Satelit Damai, Beserah di sini manakala siling di pintu hadapan serta bilik air utama kediaman berkenaan pecah.
"Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, Erma Yusnida menghubungi saya dan pemilik rumah untuk memaklumkan kejadian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Aswany, pemilik rumah dan penduduk kampung bersama anggota polis kemudian berusaha mencari termasuk memeriksa setiap ruang di dalam siling, namun tidak menemukan suspek.
"Sejurus selesai membuat laporan polis kira-kira pukul 8 malam saya segera pulang ke rumah dan sekali lagi penduduk kampung berusaha mencari pencuri berkenaan kerana yakin dia masih bersembunyi.
"Akhirnya pada pukul 9 malam, suspek yang dipercayai penghidu gam ditemui menyorok di sebalik gulungan tikar di stor rumah berkenaan.
"Walaupun trauma, saya lega kerana pencuri itu berjaya diberkas. Kejadian ini kali kedua sejak kami tinggal di sini pada 2009," jelasnya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment