My Add

Monday, 20 January 2014

Semak status tapak pusat latihan GiatMara

 * MOHD.. Shafie Apdal (kiri) menyampaikan bantuan persekolahan selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ketereh (Khadam) di Kota Bharu, Kelantan semalam. - BERNAMA
KOTA BHARU, AHAD, 19 Januari, 2014: Majlis Amanah Rakyat (Mara) diarahkan menyemak status tanah semua pusat latihan kemahiran GiatMara di seluruh negara dan mempertimbangkan membeli tapak tersebut.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah itu salah satu cara mengelak lebih banyak pusat latihan kemahiran itu terutama di negeri yang dikuasai pembangkang ditutup.

"Saya sudah minta Ketua Pengarah Mara memberi maklumat lengkap mengenai tempat-tempat (GiatMara) yang tapaknya bukan milik kita. Kalau perlu dibeli, kita beli.

"Sebenarnya geran tidak perlu diperoleh, memadai jika kita diberi kuasa iaitu dengan cara mewartakan kawasan itu untuk kegunaan pihak Mara supaya dapat terus memberi perkhidmatan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Khidmat Amal Dan Aktiviti Masyarakat (KHADAM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Mara yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa serta Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sebelum ini mengarahkan GiatMara di Taman Selayang Baru ditutup akhir tahun ini menerusi sepucuk surat yang dikemukakan kepada pengurus pusat latihan di bawah Mara itu bertarikh 2 Disember 2013.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata, selain berunding dengan kerajaan negeri supaya membenarkan pusat latihan terbabit beroperasi seperti biasa, pihaknya turut mempertimbangkan untuk mencari lokasi lain.

"Kita berharap dapat kekal di situ kerana tapak itu sudah agak selesa, bukan mudah untuk kita mendapatkan lokasi baharu memandangkan Selangor sebuah negeri yang padat dengan pembangunan. Kalau pun ada, harganya mahal.

"Mengenai dakwaan tempat itu uzur dan tidak diselenggara dengan baik, kita nampak tidak uzur pun, tapi maklumlah, orang kalau dia tak mahu beri, dia berilah macam-macam alasan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shafie memberitahu, pihak kementerian bersetuju untuk memindahkan GiatMara Ketereh ke lokasi baharu bagi membolehkannya menawarkan lebih banyak kursus sekali gus menampung pertambahan bilangan pelajar.

"Tapak asal pusat latihan itu yang terletak di Kok Lanas memang milik kita namun tidak begitu luas dan setakat ini, kita hanya mampu menawarkan sebanyak tiga kursus di situ.

"Sebagai permulaan, saya telah meminta Tan Sri (Annuar) serta Ketua Pengarah lihat tapak lain yang difikir bersesuaian," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment