AS setuju ETA Fulbright dilanjutkan tiga tahun lagi
PUTRAJAYA, AHAD, 27 April, 2014: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju melanjutkan Program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright untuk tiga tahun lagi dalam usaha meningkatkan interaksi rakyat dengan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden AS, Barack Obama menyatakan demikian dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini hari ini selepas mesyuarat dua hala di Seri Perdana sempena lawatan tiga hari Obama ke Malaysia bermula semalam.
Program ETA Fulbright yang bermula di Malaysia pada 2005 telah menjadi program persekutuan yang dibiayai kerajaan AS dan Malaysia susulan pertemuan antara Obama dan Najib pada 2010.
"Menyamakan semangat program ETA Fullbright dengan program Kor Keamanan yang sudah dilaksanakan selama dua dekad di Malaysia, Perdana Menteri Najib dan Presiden Obama mengumumkan kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat telah melanjutkan Program ETA Fullbright untuk tiga tahun lagi," menurut kenyataan itu.
Menurutnya, sebagai mengiktiraf hubungan rakyat dengan rakyat sebagai asas hubungan dua hala yang kukuh, kedua-dua pemimpin menyatakan hasrat untuk memupuk pemahaman lebih baik, semangat muhibah dan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin juga mengiktiraf hubungan peringkat universiti AS dan Malaysia terus bertambah kukuh dan menggalakkan supaya diperluas kerjasama penyelidikan dan kajian antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara.
Najib dan Obama juga menekankan betapa pentingnya golongan belia diperkasa terutama dalam menggalakkan penyertaan dalam bidang keusahawanan, perlindungan alam sekitar, pendidikan dan sivik di Malaysia dan rantau ini.
"Ini termasuk program seperti Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGiC) dan aktiviti di bawah Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI)," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin juga mengiktiraf bahawa perkongsian khazanah warisan kebudayaan Malaysia dan AS menerusi pertukaran bahan pameran di galeri lukisan dan muzium di kedua-dua negara adalah sesuatu yang amat bernilai.
Mereka juga menyambut baik penubuhan Yayasan Malaysia-Amerika dan untuk menerokai peluang bagi mewujudkan hubungan menerusi bandaraya berkembar antara kedua-dua negara.
Najib dan Obama juga menyambut baik rangkaian lapan Sudut Lincoln di enam negeri di Malaysia dan di Kuala Lumpur, yang telah menjadi hos kepada ratusan program pendidikan dan dalam menggalakkan hubungan antara Malaysia dan AS. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment