Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan KAMIL MASLIH
![]() |
* NAJIB Tun Razak bersalaman dengan Barack Obama ketika menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat itu ke Seri Perdana, Putrajaya, semalam. - BERNAMA |
Sebaliknya, Obama yang dalam rangka lawatan tiga hari ke negara ini berkata, beliau sendiri dibuli oleh partinya, Demokrat berhubung perjanjian tersebut.
Menurut beliau, protes terhadap TPPA timbul kerana kebimbangan masyarakat terhadap corak perdagangan masa hadapan serta mahu kekal dengan cara lama, selain kurangnya kefahaman terhadap kebaikan perjanjian itu kepada ekonomi.
"Adalah penting bagi semua pihak tunggu dan lihat apakah perjanjian itu sebelum cepat membuat kesimpulan. Saya pun menerima bantahan serupa di negara saya," katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana di sini hari ini.
Menurut Obama, TPPA sebenarnya akan memberikan manfaat yang begitu besar kepada kesemua 12 negara yang terlibat kerana akan membuka dan merangsang pasaran ekonomi di rantau Asia Pasifik, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat negara-negara terlibat.
Katanya, TPPA juga akan membantu membolehkan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi seperti yang dihasratkan pada 2020.
"Saya percaya ini adalah perkara betul untuk dilakukan kerana TPPA akan mewujudkan peluang pekerjaan, mengembangkan perniagaan untuk AS dan ini adalah peluang yang baik untuk negara seperti Malaysia yang sedang berkembang pesat membuat lonjakan kepada aspek-aspek dengan nilai lebih tinggi dalam rantaian bekalan yang boleh meningkatkan pendapatan dan pembangunan," katanya.
Sementara itu, Najib mengakui, langkah itu dibuat atas kehendak negara ini yang berpegang kepada dasar ekonomi terbuka.
Katanya, sebagai bukti komitmen Malaysia, negara kini telah memasuki 13 perjanjian berasingan dengan negara-negara terlibat dalam rundingan TPPA.
"Malaysia percaya kepada perdagangan bebas tetapi kita juga memahami faedahnya seperti meningkatkan perdagangan dan mewujudkan peluang pekerjaan. Jadi, dalam proses itu, ada yang akan menang dan kalah.
"Namun, secara keseluruhannya, adalah penting bagi kita untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa faedah TPPA melebihi keburukannya," katanya.
Walaupun TPPA belum diputuskan, Najib berkata, Malaysia komited menyelesaikan segala isu yang timbul dalam perjanjian tersebut.
"Saya berterima kasih kepada Obama kerana memahami sensitiviti Malaysia dalam rundingan TPPA. Perjanjian perdagangan biasanya rumit tetapi Malaysia dan AS komited untuk menyelesaikan isu-isu yang ada.
"Saya tahu semua pihak berkongsi hasrat kita untuk satu perjanjian bagi memberikan yang terbaik untuk rakyat dan perniagaan kita," katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan mendapatkan maklum balas daripada rakyat dan membentangkan hasil rundingan mengenai TPPA ke Parlimen terlebih dahulu sebelum menandatangani perjanjian tersebut. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment