![]() |
* SITI Nurhidayah Awang melompat keriangan selepas diumumkan sebagai pemenang hadiah Pengunjung Bertuah iaitu kereta jenis Perodua MyVi 1.5 SE sempena MSAM 2014 di Kota Bharu, Kelantan, semalam |
Siti Nurhidayah Awang, 24, telah diumumkan sebagai pemenang hadiah Pengunjung Bertuah yang membawa pulang sebuah kereta jenis Perodua MyVi 1.5 SE pada Majlis Penutup MASM 2014 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini hari ini.
Hadiah tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Siti Nurhidayah berkata, selama ini dia hanya mampu memendamkan hasrat untuk memiliki kenderaan sendiri.
"Selama ini saya dan suami, Mohd. Almidi Fitri Rosli, 27, telah beberapa kali berusaha membuat pinjaman bank untuk membeli kereta, namun gagal kerana beberapa kekangan.
"Impian untuk memiliki kereta selepas itu terus terkubur begitu sahaja sehinggalah hari ini, rezeki itu memihak kepada saya selepas diumumkan sebagai pemenang bertuah," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Ibu kepada dua anak itu berkata, dia menghantar 36 borang penyertaan Khamis lalu dengan niat untuk mencuba nasib.
"Saya bersyukur dan masih terkejut memandangkan kemenangan itu jelas di luar jangkaan. Siapa sangka impian untuk memiliki kereta idaman sendiri akhirnya tercapai.
"Terima kasih kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana menganjurkan MSAM 2014 sekali gus membuka ruang kepada saya mendapat 'kejutan' tidak terduga itu," katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment