My Add

Monday, 28 April 2014

Mesti sentiasa waspada, bersedia

Oleh syukri shaari
 
 * SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan panji-panji kepada dua unit TLDM iaitu KD Duyong dan KD Sri Semporna pada Istiadat Penganugerahan dan Perarakan Panji-Panji sempena Hari TLDM Ke-80 di Padang Kawad KD Pelandok di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, semalam. Turut mengiringi baginda, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Aziz Jaafar (kanan). - BERNAMA
LUMUT, AHAD, 27 April, 2014: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) supaya sentiasa berwaspada dan bersedia dalam segala aspek bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Baginda yang juga merupakan Kepten Yang Dipertua TLDM bertitah, warga angkatan itu perlu bersedia pada setiap waktu dari segi fizikal, rohani dan mental supaya mampu melaksanakan tugas dengan penuh semangat serta dedikasi.

"Khidmat bakti saudara dan saudari semua amat diperlukan dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.

"Hayatilah empat nilai teras TLDM iaitu kemuliaan, kesetiaan, keberanian serta kebanggaan dan sematkanlah cogan kata iaitu `Sedia Berkorban' dalam diri masing-masing. Insya-Allah dengan usaha gigih tanpa jemu, hasrat TLDM dalam menuju visi menjadi tentera laut bertaraf dunia akan menjadi kenyataan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Panji-Panji KD Duyong dan KD Sri Semporna serta Mengarak Panji-Panji KD Pelandok, KD Malaya, KD Panglima Hitam dan KD Rajawali di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Faiz Petra turut berangkat ke istiadat itu.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin berharap TLDM akan memberi penumpuan dalam aspek penyelenggaraan aset dan sumber manusia supaya tanggungjawab serta tugas yang diamanahkan dapat dilaksana dengan sempurna.

Baginda bertitah, peningkatan ancaman bukan tradisi dan peristiwa menggemparkan dalam negara yang mengheret penglibatan angkatan itu amat menguji kesiapsiagaan aset serta sumber manusia TLDM.

"Pencerobohan di Lahad Datu, Sabah misalnya, telah membuktikan bahawa musuh akan datang pada waktu tidak terjangka yang memerlukan pasukan keselamatan kita sentiasa berwaspada," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga mengucapkan tahniah kepada seluruh warga TLDM atas pengorbanan mereka dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara sepanjang tempoh 80 tahun ini.

"Beta berdoa ke hadrat Allah SWT agar sentiasa melindungi dan memberkati perjuangan semua warga TLDM, diberi petunjuk serta kekuatan jati diri ke arah kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan," titah baginda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment