Malaysia contoh pendukung hak asasi
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 April, 2014: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyifatkan Malaysia sebagai contoh terbaik yang mendukung hal sivil dan hak asasi serta politik kepada rakyatnya.
Beliau seterusnya menyarankan Malaysia dan negara-negara di rantau ini supaya meneruskan amalan nilai-nilai kesaksamaan jika negara Asia Tenggara mahu terus mencapai kemajuan.
Malah, beliau turut mengingatkan rantau ini bahawa tiada negara yang boleh mencipta kejayaan jika sebahagian penduduknya dipinggirkan atau berlaku diskriminasi.
"Rantau ini menarik kerana kepelbagaian, rakyatnya berbilang kaum. Malaysia sendiri sebuah negara yang maju. Saya mahu mengucapkan tahniah kerana Malaysia akan mengetuai ASEAN tahun depan. Ini akan memperlihatkan peranan Malaysia dalam rantau ini.
"Malaysia juga merupakan contoh terbaik apabila mereka (negara ini) mendukung hak sivil dan hak asasi manusia dan politik kepada setiap rakyatnya. Kerjasama antara AS dan Malaysia, kita kekal nombor satu pelabur di negara ini. Kita mahu kerjasama ini ditingkatkan dari semasa ke semasa," tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dan berdialog dalam sesi pertemuan dengan lebih 400 orang belia anjuran Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Obama menegaskan, jika dilihat antara punca terbesar konflik di seluruh dunia adalah disebabkan penderitaan dan peperangan.
"Salah satu puncanya ialah wujudnya faktor-faktor berkenaan (diskriminasi). Oleh yang demikian, kita perlu ada toleransi antara satu sama lain," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan, AS mahu meningkatkan kerjasama yang erat dengan negara-negara di rantau ini yang mana Asia Tenggara kini merupakan kuasa ekonomi ketujuh terbesar di dunia selain rakan niaga keempat terbesar AS.
Kepada golongan muda, beliau mahu golongan yang bakal menjadi pemimpin masa depan itu supaya menjadi sebahagian daripada ejen perubahan dan penyelesaian masalah, bukannya sebahagian daripada permasalahan.
"Generasi muda kini adalah pemimpin masa depan. Penting untuk mereka mewujudkan dunia yang aman pada masa depan selain menerapkan nilai-nilai kesaksamaan," katanya.
Beliau juga mahu mereka menerapkan nilai-nilai keadilan, kesaksamaan dan demokrasi diperkukuhkan termasuk memberi peluang yang adil kepada semua pihak, khususnya wanita.
Program perjumpaan berkonsepkan town hall itu merupakan antara atur cara sempena lawatan tiga hari Obama ke negara ini, bermula semalam.
YSEALI merupakan inisiatif baharu yang dilancarkan Obama pada Disember lalu bagi memberi peluang kepada beliau memahami generasi muda di rantau ini.
Inisiatif berkenaan juga antara lain bertujuan memupuk kepimpinan dan meningkatkan rangkaian kerjasama AS dan ASEAN, meningkatkan pembabitan pemimpin muda dalam pelbagai sektor dan memperkukuh hubungan antara rakyat AS dan pemimpin muda di rantau ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment