My Add

Monday, 28 April 2014

Amerika Syarikat janji, komited bantu cari MH370

PUTRAJAYA, AHAD, 27 April, 2014: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama hari ini menyatakan komitmen negara itu untuk menghulurkan segala bantuan yang diperlukan dalam bentuk aset mahu pun kepakaran bagi membantu operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Sambil mengakui usaha pencarian pesawat tersebut begitu sukar, beliau menghargai ketelusan kerajaan Malaysia berkongsi maklumat serta kegigihan negara ini dalam operasi mencari dan menyiasat punca kehilangan pesawat itu.

"Saya boleh beri jaminan AS komited sepenuhnya untuk menyediakan apa jua sumber dan aset yang boleh dalam operasi pencarian pesawat itu," katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana di sini hari ini.

AS merupakan antara negara di samping Malaysia, China, Jepun, New Zealand, Britain dan Korea Selatan yang membantu Australia dalam usaha mencari pesawat MH370 yang pada awalnya dilakukan di Laut China Selatan tetapi kini ditumpukan di Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan pesawat itu melencong jauh daripada laluan asal.

Pesawat itu yang membawa 239 orang, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lalu dan sepatutnya mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika di ruang udara Laut China Selatan.

Menurut Obama, beliau memahami perasaan sedih keluarga penumpang pesawat MH370 yang kehilangan orang tersayang, namun katanya, pencarian pesawat itu amat sukar dan bakal mengambil masa yang panjang.

"Kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku tetapi apa yang kita tahu, sekiranya pesawat itu terhempas di lautan di dunia ini, ia adalah satu kawasan yang amat luas. Ia adalah satu usaha pencarian yang begitu mencabar dan susah yang akan memakan masa," katanya.

Sementara itu, Najib merakamkan penghargaan kepada Obama atas bantuan yang dihulurkan oleh AS dalam pencarian pesawat MH370. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment