Obama kesal tidak banyak dampingi ibu, buang masa remaja
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 April, 2014: Dua perkara yang amat dikesali Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sepanjang hidupnya ialah tidak dapat meluangkan masa bersama ibunya yang telah meninggal dunia kerana kanser.
Beliau juga kesal kerana terlalu banyak membuang masa ketika zaman muda dengan menganggap soal pendidikan sebagai sesuatu yang tidak serius.
Perasaan kecewa itu dikongsi ketika beliau berdialog bersama lebih 400 belia yang menghadiri program anjuran Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
"Kadang-kadang, saya terlalu menikmati kehidupan. Sekarang usia saya 52 tahun. Tetapi, apa yang paling saya kesali, saya tidak dapat meluangkan banyak masa dengan ibu kerana dia meninggal akibat kanser ketika usianya sama usia saya ketika ini. Ia berlaku sangat cepat, kira-kira enam bulan. Saya sedar, ketika saya (berusia) sekitar 20 hingga 30 tahun, saya terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri.
"Saya tidak selalu mendekati dan berkomunikasi dengannya atau bertanyakan khabarnya. Saya mengakui, saya tidak setiap hari, atau sekurang-kurangnya kerap, meluangkan masa dengannya dan mengetahui apa yang difikirkannya, apa yang dilakukannya," kata beliau.
YSEALI merupakan inisiatif baharu yang diusahakan kerajaan AS, antara lain bertujuan memupuk kepimpinan dan meningkatkan rangkaian di ASEAN serta meningkatkan pembabitan pemimpin muda dalam pelbagai sektor.
Obama memberitahu, ketika berada pada usia muda, beliau sering membuang masa dan banyak menghabiskan masa kepada perkara-perkara yang tidak begitu penting.
"Sekarang, saya tidak mahu orang lain bekerja sepanjang masa, kerana anda perlu menikmati kehidupan dan anda perlu mempunyai rakan-rakan serta menghargai kehidupan," tegasnya. - UTUSAN A
No comments:
Post a Comment