My Add

Thursday, 3 April 2014

Peletakan jawatan Karpal satu persoalan besar

KUALA LUMPUR, RABU, 02 Ap­ril, 2014: Keputusan bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh meletak jawatan membangkitkan satu per­­soalan besar dalam konflik kepemimpinan parti itu memandangkan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebelum ini tidak diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan masih dalam siasatan.

Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, A. David Dass berkata, tindakan Karpal juga mewujudkan kemungkinan masalah dalaman parti tidak dapat diselesaikan sehingga mendorong peletakan jawatannya.

“Apa yang menjadi persoalan sekarang mengapa Karpal meletak jawatan sebagai pengerusi sedangkan kredibiliti CEC DAP tidak diiktiraf ROS.

“Adakah ini merupakan satu cara untuk mengelak sekiranya ROS mengambil tindakan terhadap DAP," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan peletakan jawatan tersebut sebenarnya 'konspirasi' kumpulan tertentu yang bermati-matian tidak mahu Karpal menerajui DAP sebaliknya mahu meletakkan kroni tertentu.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP ekoran dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, minggu lalu.

Keputusan itu dibuat berdasarkan Seksyen 9 A (1) (b) Akta Pertubuhan 1966 yang menyatakan seseorang didapati bersalah dan didenda tidak kurang RM2,000 atau dipenjara minimum setahun, tidak boleh memegang jawatan di dalam sesebuah pertubuhan berdaftar.

Menurut David, sebagai seorang veteran dalam bidang undang-undang, Karpal seharusnya lebih arif bahawa hukuman yang dijatuhkan ke atasnya kini masih di peringkat rayuan dan beliau tidak patut meletak jawatan menggunakan alasan tersebut.

“Saya tertanya-tanya adakah tindakan itu dibuat dengan ikhlas atau atas arahan pihak tertentu. Jika dia ikhlas, adakah dengan keadaan kesihatannya sekarang dia turut bersedia untuk meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor," katanya.

Malah, David tidak menolak kemungkinan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada ‘dinasti Lim’ mengawal pucuk pimpinan parti berkenaan.

Dalam pada itu, Pengasas Cawangan DAP Pelabuhan Klang dan Pandamaran, A. Deliganu berpendapat, peletakan jawatan Karpal tidak akan menjejaskan atau memberi kesan terhadap reputasi parti kerana percaya tindakan itu adalah untuk kebaikan.

“Saya mengalu-alukan keputusan Karpal untuk undur diri bagi memberi peluang kepada pemimpin muda untuk menerajui DAP.

“Ada kemungkinan beliau berbuat demikian kerana khuatir kes rayuannya ditolak tetapi saya yakin keputusan itu diambil dengan rela hati tanpa tekanan daripada mana-mana pihak," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment