My Add

Thursday, 3 April 2014

UPKO bakal umum 21 ahli jawatankuasa baharu

PENAMPANG, rabu, 02 Apri, 2014:- Seramai 21 ahli jawatankuasa baharu perlu diisi dalam barisan kepimpinan Parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) setelah Tan Sri Bernard Dompok meletak jawatan Presiden parti itu pada 5 Mac lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, mengikut perlembagaan parti, apabila Presiden meletak jawatan, kesemua yang dilantik sebelum ini terpaksa berbuat perkara yang sama secara automatik.

Beliau yang kini memangku tugas Presiden UPKO berkata, parti tidak akan berfungsi sekiranya semua jawatan tersebut tidak diisi terutama melibatkan jawatan Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan.

“Mengikut perlembagaan parti, saya akan berbincang dengan ahli terpilih bagi melantik individu tertentu mengisi jawatan yang dikosongkan, sekali gus memenuhi permintaan bekas Presiden parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis simbolik penyerahan tugas dan mesyuarat pertama UPKO di bawah kepimpinan beliau di Ibu Pejabat UPKO di sini kelmarin.

Yang hadir sama, bekas Presiden UPKO, Bernard dan barisan ke­pimpinan tertinggi parti itu.

Madius berkata, pelantikan jawatankuasa baharu yang ditentukan hari ini akan berkuat kuasa sehingga pemilihan parti seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada 2016.

Katanya, pemilihan barisan kepemimpinan baharu itu diharap dapat mengukuhkan parti dan dalam masa sama beliau menyeru semua ahli memberi sokongan penuh kepada barisan kepimpinan yang dipilih.

Sementara itu, diminta mengulas kedudukan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin dalam parti itu, Madius berkata, perkara itu akan turut ditentukan dalam mesyuarat hari ini selepas Ketua Bahagian UPKO Ranau itu kalah di tangannya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden UPKO pada Oktober lalu.

Jelasnya, kedudukan seseorang dalam UPKO dari segi hierarki ke­pimpinan akan dilihat daripada sokongan perwakilan dan pemimpin kanan parti ditentukan mengikut bilangan undi yang diperoleh.

Sumber dalaman UPKO memberitahu Utusan Malaysia, Ewon berkemungkinan besar dipilih bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden UPKO apabila terdapat satu kekosongan bagi jawatan tersebut.

Sementara itu, nama 21 ahli jawatankuasa baharu akan diumumkan dalam masa terdekat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment