Pihak pendakwaan persoal kewibawaan, kejujuran
ANWAR hadir pada kes liwat di Mahkamah Kuala Lumpur, Rabu
Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, berkata demikian selepas mendapati wujudnya percanggahan dalam keterangan saksi pembelaan itu berhubung ujian dilakukan Saintis Forensik, Dr Seah Lay Hong.
Terdahulu, Dr McDonald dalam keterangannya menyatakan ujian Acid Phosphatese (AP Test) yang dijalankan Dr Lay Hong terhadap sampel diperoleh daripada dubur mangsa, Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak mematuhi garis panduan ditetapkan kerana kesan air mani yang banyak diperlukan dalam ujian itu.
Dr McDonald berkata, Dr Lay Hong menjalankan AP Test terhadap kesan air mani, Prostate Specimen Antigen (PSA) dan Ujian Sperm Isolation pada calitan putik kapas untuk mengesan kehadiran sel sperma.
Mohamed Yusof mempersoalkan keterangan itu dengan berkata: “Bagaimana kamu cakap Dr Seah (Lay Hong) melakukan AP Test pada calitan kapas sedangkan ujian itu dilakukannya pada bahan gentian kain (seluar)? Mengapa kamu beritahu Dr Seah cakap ujian itu tidak perlu dilakukan?
Mana kejujuran kamu (dalam memberikan keterangan)?”
Dr McDonald menjawab: “Saya tidak pasti. Apakah relevannya dan persoalan kejujuran bukan satu isu.”
Mohamed Yusof: Adakah kamu cuba untuk mengelirukan mahkamah?
Dr McDonald: Itu mungkin kesilapan kerana ia apa yang saya faham. Saya memberikan keterangan berpandukan berapa banyak kesan air mani yang ada.
Sementara itu, Mohamed Yusof turut mempersoalkan kewibawaan Dr McDonald dengan merujuk keputusan perbicaraan kes jenayah di Mahkamah Daerah di Australia pada 2007 memutuskan saksi itu bukan pakar DNA.
Ketika membacakan keputusan mahkamah di Barat Australia itu, Mohamed Yusof berkata mahkamah memerintahkan Dr McDonald tidak dibenarkan memberikan keterangan sebagai saksi pakar selepas memutuskan keterangannya tidak boleh diterima dalam kes itu.
Katanya, mahkamah memutuskan tiada bukti mencukupi untuk meyakinkan mahkamah Dr McDonald seorang pakar DNA dan genetik molekular.
Bagaimanapun, Dr McDonald mempertahankan dirinya dengan menjelaskan Mahkamah Rayuan sudah mengubah keputusan itu selepas rayuan dikemukakan.
Disoal Mohamed Yusof berhubung komen serius diberikan mahkamah itu mengenai kepakarannya, Dr McDonald berkata ia terpulang kepada hakim untuk memberikan pendapatnya.
Mohamed Yusof turut merujuk kes bunuh di Mahkamah Brunei apabila Dr McDonald dipanggil memberikan keterangan mengenai pemindahan DNA.
Disoal pengalamannya dalam menjalankan ujian DNA, Dr McDonald berkata kali terakhir beliau menjalankannya pada 2004 dan ujian itu dilakukan robot dan kakitangan bawahan, manakala beliau menafsirkan keputusannya.
Ketika dirujuk artikel dalam jurnal perubatan pada 1997 bertajuk Sexual Assault and Semen Persistence iaitu sperma boleh berada dalam dubur selama 113 jam, Dr McDonald berkata walaupun perkara itu mengejutkan tetapi bukan mustahil.
Bagaimanapun, ketika dirujuk artikel Hospital Srinagarind di Thailand menyatakan sperma boleh berada dalam faraj selama 19 hari, Dr McDonald enggan beri pandangan kerana artikel itu ditulis dalam bahasa Thai. - Berita Harian.
No comments:
Post a Comment