My Add

Saturday 3 September 2011

Helah politik Karpal Singh sahaja, kata Mukhriz

TINDAKAN Pengerusi DAP, Karpal Singh mahukan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menarik balik kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong hanya satu helah politik untuk mengelak wujudnya persepsi negatif masyarakat terhadap pakatan pembangkang.

Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir berkata, Karpal terpaksa berbuat demikian kerana bimbang sokongan terhadap parti pembangkang terutama DAP akan terjejas disebabkan kenyataan yang dibuat oleh Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu.

Katanya, reaksi negatif daripada banyak pihak berhubung kenyataan Mat Sabu itu menyebabkan Karpal menggesa pemimpin Pas itu supaya menarik balik kenyataannya.

"Ini sebenarnya satu helah. Kita tahu siapa Karpal kerana sebelum ini beliau pernah menghina raja-raja Melayu, tetapi tidak pernah pula beliau menarik balik kenyataan itu.

"Bagaimanapun, apabila kenyataan yang dibuat oleh rakannya, Mat Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak termasuk kaum Cina dan India, beliau bimbang sokongan terhadap DAP akan terjejas.

"Jadi, beliau mahu Mat Sabu menarik balik kenyataan tersebut supaya tidak menjejaskan sokongan terhadap pakatan pembangkang terutama DAP. Ini merupakan helah beliau," katanya kepada Utusan Malaysia.

Mukhriz mengulas kenyataan Karpal yang mahukan Mat Sabu menarik balik kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong.

Pada 21 Ogos lalu, Mat Sabu didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengganas dalam Kompeni Ke-4 Parti Komunis Malaysia (PKM) yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis serta keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong merupakan hero sebenar, pada ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut mengecam sikap berdiam diri Pas berhubung isu berkenaan kerana tindakan itu menggambarkan bahawa parti tersebut menyokong penuh kenyataan Mat Sabu mengenai tragedi Bukit Kepong.

"Saya yakin bahawa kenyataan Mat Sabu itu mewakili partinya. Beliau merupakan pemimpin nombor dua Pas, jadi sudah semestinya apa yang diucapkan itu adalah apa yang diperjuangkan partinya.

"Lebih-lebih lagi ada pemimpin dalam parti seperti Tuan Ibrahim Tuan Man (Ketua Penerangan) yang menyokong tindakan Mat Sabu itu. Jadi kita sendiri boleh menilai pendirian Pas dalam isu ini," jelasnya.

Nada sama turut disuarakan bekas Naib Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zahid Md. Arip apabila menyifatkan gesaan Karpal itu tidak ikhlas dan hanya bermotifkan politik.

“Kalau benar Karpal jujur dalam mempertahan fakta sejarah mengenai kemerdekaan negara, peguam veteran itu akan mengiktiraf semua perjuangan UMNO membebaskan negara daripada penjajah.

“Saya tidak nampak keikhlasan Karpal dalam isu ini. Sebaliknya saya melihat ia adalah sandiwara terbaru pembangkang dalam usaha mereka untuk mengalih dan menutup isu mengenai cubaan memurtadkan 12 individu muslim di Selangor,” katanya.

Menurutnya, jika benar pembangkang ikhlas, bukan Karpal yang sepatutnya membuat gesaan itu, sebaliknya ia perlu dilakukan oleh Presiden Pas, Haji Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

No comments:

Post a Comment