My Add

Thursday, 22 September 2011

Kerajaan Pas nafi rampas tanah untuk projek kormersial

KERAJAAN Pas Kelantan menafikan dakwaan kononnya mereka telah merampas tanah seluas 3.41 hektar di Jalan Gajah Mati, Seksyen 10, di sini untuk dibangunkan dengan projek apartmen, hotel dan pusat beli-belah.


Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya telah mengikut prosedur yang ditetapkan dan memenuhi kehendak semua keperluan di bawah Akta Pengambilan Balik Tanah 1960.

Beliau berkata, pada masa sekarang syarikat pemaju, KD Hua Seng Sdn. Bhd. dan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) masih mengadakan perbincangan dengan penduduk bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan.

"Kerajaan tidak sesekali merampas tanah bahkan usaha kerajaan itu menaikkan taraf lagi, supaya setanding dengan pembangunan yang berlaku di bandar Kota Bharu, jadi kerajaan lebih ke depan melihat masa depan rakyat, (masalah) penduduk ini akan diurus dengan baik oleh pihak kerajaan dan MPKB-BRI.

"Pada 12 hingga 14 September lalu adalah perbicaraan di pejabat tanah di mana semua penduduk dan pemilik tanah dijemput hadir ke pejabat tanah.

"Daripada rekod 39 orang telah hadir, dalam perbicaraan pejabat tanah membenarkan mereka mengemukakan laporan penilaian sendiri, jadi tidak timbullah kita ambil syarikat penilai, jadi tiga minggu dari sekarang ini penduduk akan datang balik pejabat tanah membuat keputusan, kalau penduduk tidak puas hati lagi, mereka boleh bawa ke mahkamah," katanya di Kota Bharu, Rabu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kira-kira 100 penduduk di Jalan Sultanah Zainab dan Jalan Gajah Mati, di sini berhimpun membantah tindakan kerajaan Pas Kelantan mengambil tanah mereka untuk dibangunkan sebagai pusat komersial.

Penduduk terbabit mendakwa, cara pengambilan tanah seluas kira-kira 3.4 hektar tersebut oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu tidak menepati Akta Pengambilan Balik Tanah, 1960 sekali gus menimbulkan kesangsian niat sebenar pihak berkuasa.

Ahmad berkata, syarikat pemaju juga telah diarahkan supaya menyediakan rumah untuk memindahkan kesemua penduduk terbabit selepas mengambil alih tanah tersebut.

"Pemaju mesti menyediakan rumah perpindahan di tapak seluas 1.8 hektar di Panji dan rumah tersebut telah pun disiapkan, sementara mereka dapat membeli semula dan menunggu projek ini siap, mereka boleh ditempatkan di situ, jadi kebajikan penduduk dijaga.

"Apabila mereka mendapat pampasan, mereka boleh membeli semula lot perniagaan dengan harga diskaun jika mereka berminat," katanya.

No comments:

Post a Comment