My Add

Wednesday, 21 September 2011

Lakukan terbaik untuk negara - Najib


NAJIB ketika ditemubual penyampai radio MIX fm, JD (kiri) dan Dilly di Astro, semalam.
NAJIB ketika ditemubual penyampai radio MIX fm, JD (kiri) dan Dilly di Astro, semalam.
Najib kongsi kisah kehidupan peribadi seharian dengan pendengar radio
                                   Oleh Syuhda Choo Abdullah
DIKEJUTKAN dari tidur pada setiap subuh oleh penggera iPhone yang dikunci dengan lagu Karma Chameleon nyanyian kumpulan Culture Club yang cukup popular pada 1980-an adalah antara sisi menarik kehidupan Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri yang baru mengenali perkataan ‘sempoi’ melalui Tweeter, mengagumi kekuatan karakter bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela.
Kehidupan dan maklumat itu dikongsinya bersama seluruh rakyat ketika ke udara menerusi tiga stesen radio bahasa Melayu serta bahasa Inggeris milik Astro, di Bukit Jalil, semalam.

Pada temuramah bersama stesen radio bahasa Inggeris MIX fm, Najib berkata, ketika ini siangnya lebih panjang dengan kelaziman bangun antara jam 6 hingga 6.30 pagi dan malamnya kian pendek yang menggambarkan beban tugas berat dipikul, bahkan ada orang tetap mahu bertemu ketika beliau berada di rumah.

Perdana Menteri tidak menafikan ada kala kepenatan dengan jadual harian yang amat padat tetapi berusaha sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk negara kerana menggalas amanah rakyat.

“Ia seperti menjadi CEO (ketua pegawai eksekutif) sebuah syarikat, cuma lebih besar sedikit (berseloroh). Bagaimanapun, anda (merujuk kepada keadaan dirinya) perlu menguruskan apa juga waktu yang ada. Anda memerlukan masa untuk diri, sebagai contoh bersenam dan menonton program kegemaran,” katanya yang berazam memastikan masa depan cerah untuk generasi muda negara ketika menjawab soalan deejay Jason Desmond atau lebih dikenali sebagai JD dan Adila Shakir (Dilly) dalam rancangan All-New MIX Breakfast Show.

Beliau yang berpakaian kasual kemeja-T dan seluar berwarna biru dengan jaket biru gelap tiba seawal jam 7.30 pagi di konti serta disambut antaranya oleh Pengarah Eksekutif AMP Radio Networks, Datuk Borhanuddin Osman; Pengurus Besar Rancangan, Yaacob Bakhtiar Abdullah atau lebih dikenali sebagai Jake Abdullah; dan Pengurus Rangkaian, Mohamed Raqeem Brian Abdullah.

Menjawab satu soalan sama ada beliau boleh keluar tanpa kawalan keselamatan rasmi, Najib berkata: “Pernah sekali saya cuba ‘menyelinap keluar’ tetapi seluruh Bukit Aman dimaklumkan, jadi saya terpaksa melupakan idea berkenaan. Saya perlu diiringi anggota keselamatan tetapi saya beritahu mereka supaya jangan terlalu menonjol.”

Beliau meminati filem Gladiator dan A Few Good Men serta pelakon hebat Denzel Washington, Najib juga menggemari adunan muzik dihasilkan anaknya, Norashman yang disifatkan sebagai bagus dalam kreativiti itu malah memiliki kelengkapan dan sistem berkaitan di bilik sendiri, manakala Save The Last Dance For Me nyanyian Ben E King ialah antara lagu kegemaran.

Pada program itu, Najib memenangi kuiz Battle Of The Sexes, sekali gus meraih hadiah wang tunai RM150 tetapi menghadiahkannya kepada pendengar yang juga pencabar beliau dalam segmen berkenaan, Yam Poh Ling.

Ketika sesi bersama stesen radio bahasa Inggeris hitz.fm pula, Najib menyerlahkan sisi ‘sporting’ beliau apabila menjayakan panggilan palsu ‘Gotcha’ terhadap Jake dengan membuat permintaan sebagai seorang ayah supaya Norashman menjadi deejay dalam rancangannya.

Jake yang tidak menyedari ‘perangkap’ berkenaan pada mulanya kelu kerana tidak sangka menerima panggilan Perdana Menteri, malah pada satu ketika seolah-olah tidak percaya sehingga bertanyakan nama anak Najib walaupun mengaku suara dalam talian mirip pemimpin negara itu.
Rakaman panggilan itu disiarkan pada sesi bersama deejay hitz.fm Morning Crew, Johan Fernandez (JJ) dan Tengku Ean Tengku Nasrun (Ean), yang turut disertai Jake.

Beliau juga singgah ke konti bahasa Melayu Era FM bersama deejay Aznil Nawawi (Pak Nil), Shah Reza Mohd Shah (Ray) dan Haniff Hamzah (Haniff) dalam rancangan Riuh Pagi Era.


Deejay teruja dihubungi PM

PENGURUS Besar Rancangan AMP Radio Networks, Yaacob Bakhtiar Abdullah menyifatkan pengalaman mendapat panggilan daripada Datuk Seri Najib Razak untuk segmen ‘Gotcha’ dalam rancangan radio bahasa Inggeris hitz.fm Morning Crew, sebagai kenangan yang akan diingati seumur hidup.

Malah, ketika deejay Johan Fernandez atau JJ dan Tengku Ean Tengku Nasrun (Ean) menyatakan ‘Gotcha!’ kepada bos mereka selepas berjaya ‘mengenakannya’, beliau yang lebih dikenali sebagai Jake Abdullah mengaku berasa seronok dan teruja dihubungi Perdana Menteri.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif AMP Radio Networks, Datuk Borhanuddin Osman dalam satu kenyataan pula menyifatkan Najib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia yang mesra.- Beriyaa Harian.

No comments:

Post a Comment