My Add

Thursday 8 September 2011

Mat Sabu pamer gelagat sebenar perjuangan Pas

AKHBAR Utusan Malaysia terus menerus menyiarkan berita dan komen orang ramai berhubung kenyataan kontraversi Mohamad Sabu tentang tragedi Bukit Kepong, pejuang kemerdekaan dan anggota keselamatan negara.

Kenyataan Timbalan Presiden Pas di Tasek Gelugor 21 Ogos lepas juga menyifatkan Kompeni Ke-4 Parti Komunis Malaya, yang menyerang Bukit Kepong sehingga mengorbankan 25 perajurit dan keluarga mereka pada 1950, sebagai wira atas alasan mangsa yang terbunuh adalah polis penjajah British.

Berbagai persepsi timbul. Pakar sejarah berpendapat, kontroversi yang timbul mengenai siapa wira dalam peristiwa Bukit Kepong merupakan sebahagian daripada perang psikologi politik untuk perhatian umum semata-mata.

Mat Sabu dikecam dan dituduh kurang ajar kerana julang kmunis. Ramai marah, terutama waris mangsa tragedi berdarah itu. Pemimpin Pas pula terus pertahan Mat Indera.

Anak lelaki Datuk Onn menyifatkan pemimpin Melayu serta pengikut mereka yang mengagungkan komunis sebagai pengkhianat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat Pas mempamerkan gelagat sebenar perjuangannya berhubung isuT kemerdekaan dan anggota keselamatan negara menerusi kenyataan kontroversi itu. .

Menurutnya, pemimpin Pas, mengikut kepercayaan mereka, menolak peranan Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar dalam sejarah kemerdekaan negara.

"Kenyataan Mohamad Sabu itu, dia bercakap banyak, dan oleh itu, kita tahu apa yang terdapat di lubuk hati mereka, dan memang itu perjuangan sebenar mereka,” katanya.

Dr. Mahathir menyampaikan ucaptama pada Majlis Ilmu Wacana Pemikiran Bersama anjuran kerajaan negeri Melaka dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) di Seri Negeri, Ayer Kerohi (Rabu).

Pas katanya, sebelum ini memperjuangkan negara Islam, namun kemudian menggugurkannya, dan tindakan sama turut dilakukan berhubung hukum hudud.Rakyat harus tahu perjuangan sebenar Pas kerana kalau tidak, rakyat akan tertipu sepanjang masa.

Profesor Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, kontroversi itu ditimbulkan ekoran parti politik tertentu ketandusan isu selepas demonstrasi jalanan 9 Julai lepas.

"Terus-terang, tidak ada isu sebenarnya dalam kontroversi yang berbangkit ini. Jurnal Pengukir Nama Johor sudah ditulis begitu lama, mengapa baru sekarang dibangkitkan kembali?

"Bagi saya, ini merupakan satu sensasi yang sengaja ditimbulkan,” katanya ketika ditemu ramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24.

Datuk Jaafar Onn, anak kepada pejuang kemerdekaan, Datuk Onn Jaafar muncul insan paling kecewa kerana selepas mempertaruh harta dan nyawa demi memerdekakan negara tetapi akhirnya selepas 54 tahun merdeka, ada pemimpin Melayu yang sanggup mendaulatkan komunis.

Sambil menyifatkan pemimpin Melayu serta pengikut mereka yang mengagungkan komunis sebagai pengkhianat, Jaafar, 79, berkata, beliau masih boleh menerima sekiranya rakyat Malaysia tidak mahu mengiktiraf jasa bapanya, tetapi tidak sesekali memaafkan golongan yang mendewa-dewakan komunis.

Sehubungan itu, beliau berkata, kenyataan Mat Sabu yang menafikan pengorbanan 25 anggota keselamatan dan keluarga mereka yang mati semasa mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong ketika diserang 200 anggota komunis pada 23 Februari 1950 adalah perbuatan jahil.

Justeru, Jaafar menyeru kepada seluruh keluarga pejuang kemerdekaan dan anggota keselamatan negara supaya menghukum Mohamad atau Mat Sabu serta seluruh kepimpinan Pas dalam pilihan raya umum akan datang, selain beliau sendiri menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Saya berasa begitu marah, benci dan meluat dengan pemimpin yang tak sedar diri seperti Mat Sabu. Pemimpin jenis apa yang diangkat oleh orang Pas ini? Perjuangan bangsa sendiri pun dia sanggup ketepikan demi mendewakan komunis. Inilah contoh pemimpin Melayu yang buta hati dan buta sejarah kerana politik.

"Semasa tragedi Bukit Kepong, saya berumur 17 tahun. Bapa saya sewaktu itu Menteri Besar Johor. Siapa kata komunis berjuang demi membebaskan Tanah Melayu daripada British pada ketika itu? Komunis membunuh orang Melayu pada ketika itu untuk menubuhkan sebuah republik komunis bukan untuk merdeka.

"Malah, saya menyaksikan sendiri kekejaman komunis selepas Parti Komunis Malaya (PKM) keluar daripada hutan pada tahun 1945. Mana-mana orang Melayu yang tidak menyokong komunis disembelih begitu sahaja dan sesetengah mangsa tidak berkubur hingga sekarang," katanya.

Mengulas lanjut, Jaafar yang bertugas sebagai tentera dari tahun 1952 hingga 1984 berkata, kenyataan Mat Sabu yang kemudiannya disokong oleh pemimpin-pemimpin kanan Pas lain adalah penghinaan kepada seluruh pejuang negara, yang berkorban nyawa dan raga demi mengembalikan pemerintahan negara ini kepada orang Melayu.

Katanya, jika PKM berjaya dalam cita-citanya untuk menubuh sebuah republik di Tanah Melayu pada ketika itu, pemimpin seperti Mat Sabu pun belum tentu dapat menghirup udara Malaysia kerana bukan sahaja Melayu akan dibunuh dengan kejam, tetapi agama Islam juga tidak mungkin wujud lagi di bumi bertuah ini.

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan melabelkan Mat Sabu sebagai kurang ajar kerana cuba menjadikan pengganas komunis sebagai pejuang.

Pengerusinya, Datuk Roslan Dahaman menggesa Mat Sabu meminta maaf secara terbuka sebelum pihak lain turut bertindak kurang ajar terhadap pemimpin tersebut.

Menurutnya, walaupun Pekida Wilayah Persekutuan mengenali sifat Mat Sabu namun keterlanjuran dilakukan kali ini mengguris hati keluarga mangsa tragedi Bukit Kepong.

"Mat Sabu suka cakap lepas, apa yang dia rasa nak cakap, benda itu akan keluar, tetapi kali ini (menjulang komunis) dia perlu meminta maaf secara terbuka sebelum orang lain pula marah dan bertindak kurang ajar terhadap dia.

"Tidak mustahil juga dalam kejadian ini Mat Sabu telah diberi wang oleh pihak-pihak tertentu, sebab itu dia sanggup menghina mangsa-mangsa tragedi Bukit Kepong yang terdiri daripada anggota keselamatan, isteri dan anak mereka," katanya.

Pekida Wilayah Persekutuan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Putra. Turut membuat laporan polis adalah Persatuan Bekas Anggota Perisikan Malaysia (Baris) yang diwakili oleh Presidennya, Nordin Hassan.

Nordin berkata, Baris menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap Mat Sabu kerana kenyataan itu mungkin akan di salah erti oleh generasi baru.

“Mat Sabu perlu menyuluh dan mencermin diri terlebih dahulu apakah beliau layak untuk berdebat dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu tragedi Bukit Kepong,” katanya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, ‘penjilat’ komunis seperti Mat Sabu tidak layak untuk berdebat mahu pun berada sepentas dengan Muhyiddin.

“Mat Sabu ini siapa? Apa taraf dia nak berdebat dengan Muhyiddin. Orang yang sanggup menjadi pecacai kepada komunis dan menghina perjuangan bangsa sendiri tidak layak untuk diangkat dan diberi penghormatan.

“Mat Sabu hanya layak untuk berdebat dengan pemimpin-pemimpin DAP kerana ideologi mereka serupa iaitu sama-sama mengagungkan perjuangan komunis,” katanya dalam satu kenyataan mengulas tindakan Mat Sabu mencabar Muhyiddin berdebat dengannya selepas menolak kesediaan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bagi menggalas peranan tersebut.

Khairy menggelar Mat Sabu sebagai pemimpin yang bacul dan penakut kerana tidak berani berdebat dengannya, meskipun jemputan mengenai perkara itu dihantar sendiri oleh Kerajaan Pas Kelantan.

“Mulut celupar Mat Sabu ini telah menyebabkan Pas kini seperti cacing kepanasan. Jangan salahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sistem pilihan raya negara jika Pas menyembah bumi pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad meminta Mat Sabu tidak memesongkan fakta dengan merujuk sebuah buku bertajuk Pengukir Nama Johor dengan memaparkan Mat Indera sebagai salah seorang tokoh.

"Kita tidak perlu terpedaya dengan bukti tersebut kerana dalam al-Quran sendiri ada menceritakan mengenai Firaun dan adakah bererti Allah mengiktiraf Firaun sebagai pejuang?

"Allah menceritakan mengenai Firaun supaya kita menjadikannya sebagai sempadan dan bukannya mengiktiraf ketokohannya.

"Begitu juga dengan buku Pengukir Nama Johor yang menceritakan mengenai Mat Indera," katanya kepada pemberita selepas hadir bersama 47 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung kenyataan pemimpin itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Muka depan sebuah akhbar harian melaporkan Mat Sabu mengemukakan bukti dengan merujuk buku terbitan Yayasan Warisan Johor itu yang mengiktiraf Mat Indera sebagai tokoh.

Menurut Syed Ibrahim, penulis buku itu sendiri menyatakan bahawa buku berkenaan ditulis untuk orang ramai membuat penilaian dan bukannya mengiktiraf Mat Indera sebagai wira.

"Pembaca seharusnya membuat penilaian dengan pemikiran yang cerna kerana adakah orang yang menyerang balai polis perlu diangkat sebagai wira?

"Sedangkan kita tahu anggota polis adalah orang yang mempertahankan tanah air, bangsa dan agama. Maka, sudah tentu orang yang menyerang itu adalah pemberontak dan musuh kepada tanah air, agama dan bangsa," jelasnya.

Beberapa pemimpin Pas terus mempertahankan Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai pejuang kemerdekaan negara.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, apa yang disebut Mat Sabu bahawa Muhammad Indera atau Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan sememangnya benar, tepat dan tidak boleh dipertikai.

"Apa disebut Mat Sabu itu benar dan ia dapat dibuktikan menerusi buku Pengukir Nama Johor yang diakui oleh ahli sejarah, diakui secara rasmi oleh kerajaan negeri Johor," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Pas.

Selain Mohamad, turut hadir Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Tindakan undang-undang ke atas Mat Sabu perlu disegerakan, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee dan pada masa sama menganggap tindakan Mat Sabu yang memesongkan fakta sejarah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Mat Sabu adalah manusia zalim yang tidak berhati perut terhadap penderitaan dan kesengsaraan balu-balu anggota keselamatan negara. Sedangkan pejuang negara inilah yang telah terkorban demi mempertahankan kedaulatan tanah air kita.

"Selama ini waris mangsa Bukit Kepong amat berbangga dengan pergorbanan datuk dan nenek mereka, tetapi hari ini pengorbanan itu dihina. Ini adalah satu penderaan emosi kepada waris dan pelakunya perlu dihukum," kata Syed Ali di blognya,
http://umnobahagiancheras.blogspot.com.

Menurut Syed Ali, kelewatan pihak berkuasa mendakwa Mat Sabu dikhuatiri akan menyebabkan isu Bukit Kepong dan komunis terus dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga boleh memadam fakta sejarah yang sebenar.

Dalam pada itu, beliau mempersoal bagaimana Pas yang mendakwa sebagai parti Islam boleh menyokong dan mempertahankan tindakan Mat Sabu, sedangkan komunis adalah pertubuhan pengganas yang anti-Islam dan antinasional.

"Mengapa pemimpin dan ulama Pas yang kononnya berjuang untuk Islam tergamak merestui perbuatan Mat Sabu yang menghalalkan komunis membunuh pasukan polis dan tentera semasa darurat?" soalnya.

No comments:

Post a Comment