My Add

Thursday 8 September 2011

Mat Indera bukan pejuang kemerdekaan negara

AKHBAR Utusan Malaysia melaporkan, Mohamad Indera atau Mat Indera bukanlah pejuang kemerdekaan dalam tragedi Bukit Kepong, sebaliknya adalah pemberontak yang mempunyai agenda untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai negara komunis.

Perkara itu dijelaskan oleh bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Abdul Rahman Ismail yang berkata, perjuangan Mat Indera berbeza dengan perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang lain seperti Tok Janggut, Tok Bahaman dan Tok Gajah.

“Mat Indera yang dikatakan mengetuai serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, sebenarnya bukan menentang penjajah British sebaliknya bermatlamat menubuhkan sebuah negara komunis di Tanah Melayu.

“Tok Janggut dan Tok Gajah pula berjuang berhabis-habisan menghalau penjajah dari tanah air bagi mengekalkan pemerintahan tempatan sedia ada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menjelaskan perbezaan maksud pejuang dan pemberontak berdasarkan pengalamannya yang turut terlibat menyiasat kes-kes mangsa kekejaman komunis dari 1950 hingga 1955.

“Di mana-mana negara dalam dunia, pihak yang mengangkat senjata untuk merampas negara secara kekerasan adalah dianggap pemberontak manakala pihak yang mengangkat senjata untuk mempertahankan keamanan negara adalah pejuang.

“Pemberontak-pemberontak Parti Komunis Malaya (PKM) adalah pecahan daripada Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang pada asasnya diwujudkan untuk bersama tentera British Force 136 bagi menghalau penjajahan Jepun dari Tanah Melayu.

“Selepas Jepun menyerah diri pada Ogos 1945, MPAJA dibubarkan dan diarahkan untuk memulangkan senjata api bagaimanapun, sebahagian daripada mereka enggan berbuat demikian lalu menubuhkan PKM.

“Ini kerana mereka hendak meneruskan perjuangan menjadikan Tanah Melayu sebagai negara komunis,” katanya.

Justeru, beliau yang tamat perkhidmatannya pada 1985 itu memberitahu, tindakan Mat Indera jelas menunjukkan dia seorang pemberontak dan bukan pejuang yang perlu dijulang sebagai hero tragedi Bukit Kepong.

Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak mengenai pasukan keselamatan serta Presiden UMNO ketika itu, Tunku Abdul Rahman yang dikatakan bersekongkol dengan penjajah British.

“Polis bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan awam dan negara dari sebarang ancaman luar manakala Tunku Abdul Rahman pula bertungkus lumus mencari jalan terbaik membebaskan tanah air tercinta daripada penjajahan.

“Pihak komunis masih berterusan melakukan kekejaman, kerosakan awam dan pembunuhan kejam terhadap orang awam yang tidak berdosa walaupun selepas kemerdekaan dicapai.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan itu sekali lagi jelas membuktikan mereka mempunyai agenda menubuhkan negara komunis walaupun semua penjajah sudah berundur,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment