KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) didesak mengambil tindakan ke atas
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang berhasrat menukar Jalur Gemilang jika pembangkang memperolehi kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.
Desakan itu datang daripada empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sebuah parti politik yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, tengah hari Rabu.
Menurut Utusan Malaysia, pertubuhan itu adalah Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) cawangan Pulau Pinang, Parti PPP Bahagian Ampang, Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (DESMMA) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Kesemua wakil pertubuhan itu berkata, kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pemimpin pembangkang tersebut kerana sebagai seorang peguam, Manoharan sepatutnya tahu kesannya jika mengeluarkan kenyataan atau pandangan seperti itu.
Pengerusi IRIMM cawangan Pulau Pinang, Zainal Abidin Ahmad berkata, kenyataan maaf yang dikeluarkan Manoharan selepas menghina bendera kebangsaan itu tidak mencukupi.
"Tanpa berfikir panjang atau mungkin ada motif tertentu, dia mengeluarkan kenyataan sedemikian dan kemudian meminta maaf. Bagi kami itu tidak cukup kerana dia sepatutnya meminta maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia," katanya selepas membuat laporan itu.
Manoharan pada 15 September lalu menegaskan bahawa pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.
Kenyataan bersifat kurang ajar itu disiarkan ADUN DAP terbabit menerusi Facebook miliknya dan didedahkan oleh portal berita terbaru, www.mole.my sehari kemudian.
Setelah dikritik termasuk daripada rakan Facebooknya sendiri, Manoharan pada hari yang sama memohon maaf atas pandangannya itu.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi PPP, Datuk Thajudeen Mohideen pula mengesa polis pengambil tindakan segera atas kenyataan tersebut.
"Kenyataan yang dikeluarkan Manoharan itu jelas berbaur hasutan dan dibimbangi menjadi ikutan kepada rakyat lain yang sewenang-wenangnya boleh mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati semua orang," katanya.
No comments:
Post a Comment