My Add

Thursday, 22 September 2011

Pembangkang setuju sertai jawatankuasa khas Parlimen

PAKATAN pembangkang akhirnya bersetuju menyertai Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen yang bertanggungjawab menambah baik proses pilihan raya di negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga wakil dari pakatan pembangkang dalam jawatankuasa itu akan ditentukan bersama-sama oleh Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Menurut BERNAMA, Anwar pada persidangan berita di Kuala Lumpur berkata, keputusan untuk menyertai jawatankuasa khas terpilih itu adalah bagi memastikan wakil mereka dapat membawa cadangan pakatan pembangkang yang menuntut pilihan raya yang bersih, iaitu reformasi keseluruhan proses dan pelaksanaan pilihan raya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarangan maklumat rasmi mengenai usul penubuhan jawatankuasa itu yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 3 Oktober ini.

Pada 15 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu dalam usaha menambah baik proses pilihan raya.

Jawatankuasa itu akan diketuai oleh seorang menteri dan dianggotai oleh sembilan wakil rakyat, terdiri dari lima daripada kerajaan, tiga pembangkang dan satu Bebas.


No comments:

Post a Comment