My Add

Tuesday, 20 September 2011

Mansuh ISA: Perjuangan Pakatan, NGO bukan UMNO


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetap akan menafikan keputusannya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah hasil perjuangan Pakatan Rakyat, walaupun orang ramai amat faham dengan realiti itu.

Penentangan Pakatan Rakyat terhadap ISA antara lain terbukti dengan penubuhan sebuah NGO, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang membabitkan para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, tetapi dipersendakan oleh para pemimpin UMNO. 



Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, PAS, PKR dan DAP telah bersama dengan GMI sejak NGO itu ditubuhkan pada tahun 2008 lalu, manakala UMNO pula menuduhkan para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat serta aktivis GMI sebagai kumpulan yang tidak memahami ISA dan kepentingannya untuk negara.

Menurut beliau, penentangan para pemimpin UMNO terhadap perjuangan untuk memansuhkan ISA oleh Pakatan Rakyat disuarakan oleh para pemimpin UMNO di dalam persidangan Parlimen.

Katanya, selain itu, UMNO menerusi proksinya, Perkasa turut menyuarakan penentangan terhadap perjuangan Pakatan Rakyat itu dengan mengadakan himpunan khas, tetapi gagal menarik minat ramai apabila hanya dihadiri sejumlah kecil peserta sahaja.

"Realiti itu amat jauh berbeza dengan himpunan yang diadakan oleh GMI yang dihadiri puluhan ribu orang yang juga para penyokong Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, Isnin.

Media pro UMNO sejak kelmarin melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan bahawa langkah kerajaan memansuhkan akta ISA adalah "hasil perjuangan" Pakatan Rakyat

Sebaliknya, menurut Najib, langkah berkenaan dibuat oleh Kerajaan BN kerana Kerajaan BN mendengar isi hati rakyat yang mahukan perubahan.

Sehubungan itu, Najib meminta agar jangan ada orang hendak 'claim credit' kononnya pengumuman itu adalah hasil perjuangan mereka.

Ulasan seperti itu dibuat oleh Najib sejak keputusan memansuhkan ISA diumumkan menerusi perutusan Hari Malaysia pada 16 September.

Selain itu, beliau juga berkata demikian sebagai mengulas reaksi segera yang ditimbulkan pemimpin Pakatan Rakyat yang mengatakan langkah Kerajaan BN memansuhkan ISA merupakan salah satu usaha yang digariskan dalam manifesto Buku Jingganya.

Namun menurut Najib, pemansuhan akta itu dibuat untuk memenuhi janji beliau semasa mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri, manakala tindakan itu akan meletakkan Malaysia atas landasan lebih progresif dan terbuka dalam memelihara ketenteraman awam.

"Perubahan yang saya umum itu kerana kita dengar suara dan isi hati rakyat," katanya yang turut diperdengarkan dalam program Sirih Pulang ke Gagang di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam kelmarin.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, kenyataan berulang kali yang dikeluarkan oleh Najib itu jelas menunjukkan Najib menolak tekanan yang dialaminya berhubung perlaksanaan ISA selama ini.

"Tetapi perkara itu tidak boleh dinafikan oleh Datuk Seri Najib. Menafikan tekanan dari Pakatan Rakyat yang dialaminya berhubung perlaksanaan ISA selama ini sehingga membawa kepada pemansuhan akta itu tidak akan memberikan sebarang keuntungan kepada Perdana Menteri," katanya.

Malah, semakin dinafikan oleh Perdana Menteri, tegas beliau, semakin ketara pula kesombongan dan ketidakikhlasan Perdana Menteri berhubung pemansuhan ISA yang diumumkan pada 16 September lalu yang dikatakan untuk tranformasi politik di tanah air.



| Print |

No comments:

Post a Comment