BERNANA melaporkan bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad hari ini menasihati penganjur misi kemanusiaan supaya mengambil kira risiko yang mungkin dihadapi anggotanya di tempat yang bakal mereka bertugas, terutama di negara seperti Somalia, yang tidak mempunyai kerajaan yang kukuh.
"Sebelum pergi, anda kena sedar bahaya yang mungkin dihadapi,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Seri Kembangan.\
Dr. Mahathir berkata demikian bagi mengulas kematian jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 39, akibat terkena tembakan ketika dalam perjalanan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama beberapa anggota media lain dari Malaysia di Somalia pada Jumaat.
Mereka ke Mogadishu untuk membuat liputan misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia di negara yang dilanda kebuluran itu.
Dr. Mahathir berkata, keadaan di Somalia tidak stabil kerana rakyatnya berperang sesama sendiri.
Sambil menyifatkan kejadian yang menimpa Noramfaizul sesuatu yang malang, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga jurukamera itu.
Majlis rumah terbuka itu dihadiri pelbagai lapisan masyarakat, termasuk naib pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Lee Lam Thye dan penyanyi popular Siti Nurhaliza Tarudin.
No comments:
Post a Comment