My Add

Thursday 15 September 2011

MUBARAK kecewa wujud polarisasi kaum antara pelajar

MAJLIS Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) melahirkan rasa kecewa serta bimbang dengan keadaan polarisasi kaum yang dikesan masih wujud di kalangan pelajar Malaysia yang berada di luar negara.

Presiden MUBARAK, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata perkara tersebut harus diperbetulkan kerana ia hanya merugikan negara pada masa depan jika tidak ditangani.

Merumuskan sesi dialog dan ceramah bertajuk Peranan Pelajar Malaysia di Indonesia Sebagai Negara Serumpun kepada pemberita di Pusat Konvensyen Mutiara di Medan, malam tadi, beliau berkata: "Saya rasa kecewa kerana nampak polarisasi kaum wujud di sini.

"Saya tengok pelajar India, Cina dan Melayu pada majlis ini duduk hanya di kalangan mereka saja. Ini manifestasi di mana integrasi nasional masih belum tercapai (sepenuhnya).

"Ini merugikan kita dan amat perlu diperbetulkan. Keadaan ini turut berlaku di Malaysia. Ini berbeza pada zaman saya belajar dulu di mana kami bercampur dengan kaum lain."

Sesi ceramah itu dipengerusikan oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Abdul Rahman Sulaiman yang juga Ketua Penerangan Mubarak dan disertai anggota panel lain iaitu Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Norlin Othman, Naib Presiden Mubarak, Datuk Wira Othman Abdul dan bekas pegawai kedutaan Malaysia yang kini seorang pensyarah, Datuk Mokhtar Selat.

Abdul Aziz yang juga bekas Anggota Parlimen Temerloh berkata, segala pandangan mengenai kebajikan dan kesulitan pelajar khususnya di Medan akan dibawa kepada pucuk pimpinan negara dan juga kementerian serta agensi berkaitan.

Beliau juga menekankan bahawa pelajar harus membuka minda apabila berpeluang menuntut di luar negara dengan mengikuti perkembangan yang ada di negara tersebut dan meninjau semula ke negara sendiri.

"Saya nampak sekarang, macam dalam sesi dialog yang kita adakan, kita menunggu saja soalan secara universal, sosial, politik dan sebagainya (tapi tak wujud).

"Saya setuju sangat kali ini mereka (di dalam sesi dialog) hanya menceritakan hal pentadbiran, biasiswa, peruntukan dan sebagainya. Mereka mesti menimba ilmu secara holistik dan tidak hanya terikat dengan ilmu masing-masing saja," katanya.

Abdul Aziz berkata, perkara itu perlu dilatih sejak dari peringkat sekolah menengah dan sekiranya tanpa latihan mencukupi ia tidak akan menanamkan minat dan membuka minda pelajar mengenai perkara lain.

Terdapat kira-kira 1,500 pelajar Malaysia di Medan yang menuntut di tiga buah universiti utama iaitu Universitas Sumatera Utara (USU), Institut Agama Islam Negeri (IAIN) dan Universitas Negeri Medan (UNM).

Sebelum itu, kira-kira 900 orang menghadiri sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri Mubarak yang dianjurkan bersama dengan Konsulat Malaysia. - BERNAMA.

No comments:

Post a Comment