My Add

Sunday, 4 September 2011

Pas tiada pendirian isu Mat Sabu

ATAS sifatnya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Dr. Awang Adek Hussin banyak bercakap tentang sikap dan tindak-tanduk Pas.

Sebagai anak jati Kelantan, Timbalan Menteri Kewangan itu banyak menyelami serta merasai sepak terajang parti, terutama di negeri kelahirannya.

Dr. Awang Adek meminta kepimpinan PAS menyatakan pendirian parti itu berhubung kenyataan Mohamad Sabu yang mengecilkan pergorbanan pejuang kemerdekaan dalam tragedi Bukit Kepong, 61 tahun lalu.

Katanya, selepas Pengerusi DAP, Karpal Singh mengeluarkan kenyataan menolak tindakan Timbalan Presidennya, PAS perlu menjelaskan pendirian parti itu bagi mengelak kekelirukan masyarakat.

"Selepas Karpal Singh sendiri membantah tindakan Mat Sabu, apa yang dilakukan Mat Sabu (Mohamad) itu bukanlah sebagai suara pihak pembangkang tetapi ia mengelirukan rakyat tentang pakatan mereka (Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat)," katanya.

Mat Sabu ketika berceramah di Tasek Gelugor di sini pada 21 Ogos lalu dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong itu adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Dr Awang Adek berkata, Mat Sabu seharusnya mempamerkan sikap seorang pemimpin tertinggi sebuah parti yang menegakkan agama Islam dengan tidak menyokong fahaman komunis yang sudah pupus dan ketinggalan zaman.

"Malahan fahaman itu ditolak oleh mana-mana agama sekalipun, ditolak oleh dunia sejak 40 tahun lalu dan zaman komunis sudah berlalu seperti Kesatuan Soviet yang hapus dan tidak diterima masyarakat dunia umumnya," katanya.

Dr Awang Adek yang hairan dengan tindakan Mat Sabu itu berkata, sehubungan itu rakyat harus bijak menilai perilaku sebenar pemimpin parti tersbut yang sentiasa mencari 'kerenah' untuk mengelirukan rakyat.

Menurutnya, sebagai seorang pemimpin Islam, Mat Sabu sepatutnya berfikir dengan waras sebelum membuat sebarang kenyataan dan sentiasa bercakap benar.

"Mat Sabu tidak harus menimbulkan semangat menentang kerajaan seperti dahulu di mana komunis melawan tentera British...ia seolah-olah menanamkan kebencian terhadap kerajaan, perjuangan Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn (Jaafar) tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Di PASIR PUTEH, lebih 10 ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) diketuai oleh ahli jawatankuasa PBTM Pasir Puteh, Zawawi Mohamed, 64, membuat laporan polis berhubung kenyataan Mat Sabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.

"Kita mahu polis membuat siasatan segera dan menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," kata Zawawi selepas membuat laporan berkenaan.

Dalam aduannya itu, Zawawi berkata pihaknya kesal dan rasa terhina apabila komunis dianggap sebagai hero dalam tragedi itu dan tindakan Mat Sabu berniat jahat untuk memutarbelitkan fakta sejarah demi kepentingan politik.

"Saya berharap kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Di TASEK GELUGOR, UMNO Pulau Pinang menyifatkan percanggahan pendapat dalam pakatan pembangkang mengenai kenyataan Mat Sabu, sebagai bukti tiada persefahaman di kalangan mereka.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Musa Sheikh Fadzir, berkata ia terbukti apabila pandangan Karpal Singh berbeza dengan kenyataan rasmi pakatan pembangkang.

Katanya, Karpal meminta Mohamad supaya menarik balik kenyataannya manakala kenyataan rasmi pakatan pembangkang menyokong kenyataan pemimpin PAS itu.

"Saya harap rakyat melihat perkembangan ini dan menjadikannya sebagai iktibar terutama tindakan mereka yang tidak menghargai jasa pejuang yang terkorban bagi mencapai kemerdekaan," katanya selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Tasek Gelugor.

Di JOHOR BAHRU,Kenyataan Mat Sabu yang mengangkat komunis sebagai wira sebenar dalam tragedi Bukit Kepong bukan perkara pelik kerana Timbalan Presiden Pas dan parti itu sendiri sudah biasa memutarbelitkan pelbagai hal.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohamed Khaled Nordin berkata, perbuatan Mohamad Sabu itu tidak memeranjatkan kerana sebelum ini beliau turut mengubah fakta dalam kes kemalangan semasa membonceng motosikal ketika menyertai perhimpunan haram Bersih, Julai lalu.

"Apa yang kita nak pelikkan? Dalam soal agama sekalipun parti dia (Pas) boleh putar belit. Ini memang pakaian mereka, jadi rakyat jangan terpengaruh dalam hal ini. Masyarakat jangan terlalu percaya, rapuh pemikiran dan terima bulat-bulat apa yang disampaikan.

"Kita tak sepatutnya terkejut kerana itu pendekatan yang diambil oleh mereka (pembangkang). Semua yang mereka buat ini menyebabkan ketidaktentuan, keadaan kucar-kacir yang mengundang kepada ketidakstabilan negara," katanya kepada Utusan Malaysia.

Khaled turut membidas ahli-ahli Pas yang diam seribu bahasa sekali gus menunjukkan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menegur pemimpin sendiri yang bukan saja menyeleweng amanah dan tanggungjawab malah fakta serta hakikat sejarah.

Jelas Khaled, rakyat negara ini perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku bahawa sejarah penting untuk dipelajari dan diturunkan supaya wujud kesinambungan yang dapat menyumbang kepada kestabilan.

"Keadaan negara dan rakyat yang buta sejarah akan menyebabkan tiada tentangan atau tentangan yang tidak kuat jika berlaku keadaan orang memutarbelitkan fakta. Saya setuju subjek Sejarah perlu menjadi ilmu asas yang diturunkan kepada generasi akan datang sejak pendidikan peringkat rendah," katanya lagi.

DiTANJONG KARANG Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar berkata, sikap Mat Sabu yang mementingkan agenda politiknya itu dilihat amat berbahaya kerana boleh menimbulkan suasana yang tidak selesa kepada rakyat.

Tindakan Timbalan Presiden Pas yang masih berdegil mempertahankan kenyataannya yang menganggap komunis sebagai hero negara disifatkan sebagai terlalu mengutamakan politik kepartian melebihi kepentingan nasional.

"Mat Sabu kena sekolah balik kerana masih keliru berkenaan sejarah pejuang kemerdekaan negara sehingga mengeluarkan kenyataan sesuka hati, malah mempertahankan perjuangan komunis yang tidak boleh diterima di negara ini,” katanya.




No comments:

Post a Comment