My Add

Friday 16 September 2011

Pembangkang sambut baik mansuh ISA, langkah positif

SAMBIL menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi pada masa yang sama Pas berharap peruntukan dalam akta baru bagi menggantikannya tidak menyerupai ISA.

Manakala DAP menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai langkah positif yang mampu membantu proses pembinaan negara-bangsa dan mengangkat amalan demokrasi, MCA mahu undang-undang ganti ISA perlu dipercepatkan.

Bercakap kepada pemberita di Kota Kinabalu, Jumaat, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, parti perlu melihat dahulu peruntukan dalam akta baru itu.

"Kita tidak mahu pengumuman penghapusan ISA ini sebagai gimik pilihan raya tetapi ia benar-benar diusahakan kerana ia adalah tuntutan sebahagian besar rakyat di negara ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perutusan Khas Hari Malaysia Khamis malam mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Di George Town Jumaat, sambil menyambut baik pengumuman kerajaan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata langkah Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA bakal membuka ruang demokrasi lebih luas dan memperkukuhkan amalan hak asasi di negara ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, tindakan kerajaan Pusat itu adalah satu langkah positif, bersejarah dan bakal memberi kesan sangat besar kepada proses pembinaan negara-bangsa.

"Saya gembira dengan tindakan Perdana Menteri berhubung isu ISA ini kerana pemansuhan akta berkenaan akan meluaskan ruang demokrasi dan mempekukuhkan amalan hak asasi di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Di MELAKA Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berpendapat, undang-undang yang lebih bersesuaian dengan suasana ketenteraman di negara ini perlu percepatkan kerana khuatir pihak lain akan mengambil kesempatan melakukan kekacauan berikutan pemansuhan ISA.

Beliau berkata, tiada sebab kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan undang-undang berkenaan yang jelas boleh memberi banyak manfaat kepada masyarakat khususnya berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam.

"MCA menyambut baik pemansuhan (ISA) itu, tetapi kerajaan wajar mempercepatkan pelaksanaan undang-undang baru itu," katanya selepas merasmikan Dewan Boon Leong, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Bachang'

No comments:

Post a Comment