My Add

Sunday 11 September 2011

Saya pejuang Islam, bukan komunis - Mat Sabu

DALAM satu ceramah di Dewan Kolej Universiti Islam Dr Zulkifli Muhammad (KUIZM), Gombak,Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menjelaskan pegangan dan perjuangannya adalah Islam sejak kecil lagi dan bukan komunis seperti dilabel UMNO dan akhbar Utusan Malaysia.

Sambil itu, dalam ceramahnya malam tadi (Sabtu, 11 September 2011). Mat sabu juga mendakwa UMNO mewarisi penjajah dan memberi sebab mengapa beliau enggan berdebat dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin.

Ikuti laporan HarakahDaily:

"Saya memilih perjuangan atas dasar Islam. Masa remaja dulu saya pilih Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia). Kemudian tahun 1978 saya sertai perjuangan Parti Islam (PAS), sokong perjuangan ulama.

"Sepanjang saya berpidato idola saya adalah Syed Qutb, Imam Hasan Al-Banna, Jamaludin Al-Afghani, dan ulama-ulama lain.

"Tiba-tiba saya dituduh komunis, tak sedih ke tuan-tuan? Jahat sungguh," katanya merujuk kepada serangan UMNO dan media terhadapnya ekoran pandangannya dalam isu Rumah Pasung Bukit Kepong.

Mengulas lanjut Mohamad berkata tuduhan sebegitu bukan baru kerana berlaku sejak zaman penjajah lagi.

Di zaman British ujarnya, golongan ulama dan golongan kiri dianggap penentang dan ditangkap serta dibunuh.

"Saya sangat cintakan tanah air Malaysia, tempat tumpah darah kita.

"(Tuduhan) Ini sama seperti dituduh terhadap pejuang-pejuang sebelum ini oleh penjajah dan sekarang UMNO mewarisinya," tegasnya lagi.

Mohamad dalam satu ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pad 21 Ogos lalu mendakwa Mohamad Indera yang menyerang polis British di Rumah Pasung Bukit Kepong adalah hero sebenar dan bukannya polis tersebut.

Seminggu selepas itu, Utusan Malaysia dalam laporan 27 Ogos melaporkan kenyataan Mohamad sebagai berkata pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.

Mohamad yang tidak pernah mengaitkan komunis dalam isu itu kemudiannya menafikan perkara itu dan menganggap laporan akhbar Umno itu sebagai fitnah terhadapnya dan PAS.

Ekoran laporan itu juga, beliau telah dibidas dan kecam hebat oleh pelbagai pihak khususnya, Umno dan BN sehingga ada yang menuduhnya sebagai komunis.

Mengulas perkara itu, Mohamad malam tadi berkata semalam genap 15 hari beliau diserang.

"Saya berucap 21 haribulan, Utusan siar 27 haribulan seminggu selepas itu.

"Itu bukan berita, itu dah jadi sejarah. Kalau berita, berlaku hari ini keluarnya esok," sindirnya terhadap tindakan Utusan itu.

Menjelaskan kenapa beliau menolak debat dengan Khairy Jamaluddin, beliau berkata bukan Ketua Pemuda UMNO itu yang banyak menghentamnya tetapi Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ekoran itu katanya, beliau hanya mahu berdebat dengan Muhyiddin yang dilihat lantang mengritik beliau sehingga menyuruh beliau bertaubat.

"Bagi saya Khairy budak baik dan berpotensi jadi pemimpin Pas akan datang. Buat apa nak berdebat dengan adinda Khairy.

Muhyiddin yang banyak kata pada saya, jadi biarlah saya berdebat dengan Sohibussamahah Muhyidin Yassin," sindirnya.

No comments:

Post a Comment