My Add

Sunday 18 September 2011

Tahanan ISA: Tak perlu layan permintaan maaf Mat Sabu

KENYATAAN Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mahu kerajaan meminta maaf terhadap mereka yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak perlu dilayan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Mat Sabu kini dibelenggu pelbagai isu berikutan kenyataan kontroversinya tentang komunis, lapor BERNAMA.

"Dia (Mohamad Sabu) sudah tidak tahu nak kata apa lagi. Dia sudah banyak isu, Polis pun marah kat dia. Saya tidak mahu layan lagi Mat Sabu,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Sembrong di Taman Sri Lambak, Kluang.

Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan kerajaan memansuhkan ISA baru-baru ini bukan suatu retorik tetapi adalah sebahagian daripada pelan transformasi politik.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Jabatan Peguam Negara sedang menggubal dua undang-undang baru yang akan menggantikan ISA yang digubal ketika negara sedang menghadapi ancaman pengganas komunis.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa keselamatan negara berada di dalam keadaan terjamin walaupun kerajaan memutuskan untuk memansuhkan ISA.

No comments:

Post a Comment