My Add

Sunday, 18 September 2011

Tak benar taraf kerakyatan mudah kepada pekerja Bangladesh

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan kononnya warga Bangladesh yang bekerja di negara ini mendapat taraf kewarganegaraan dengan mudah.

Sambil menolak dakwaan bahawa golongan itu juga diberi hak mengundi pada pilihan raya di Malaysia, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak perlu berbuat demikian apatah lagi jika ia dikaitkan dengan proses pilihan raya.

Katanya, kerajaan tidak begitu terdesak sehingga perlu memberikan taraf kewarganegaraan semata-mata untuk meraih undi dan memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.

"Kita boleh minta penjelasan dari pihak Bangladesh apakah benar kenyataan itu dibuat oleh Perdana Menteri kerana dari segi soal kerajaan kita tidak buat begitu.

"Seseorang yang hendak jadi warganegara perlu melalui pelbagai proses, tempoh masa berapa lama dah berada di sini, sama ada dia betul-betul tahu keadaan di sini dan sebagainya sebagaimana yang biasa kita lakukan.

"Tidak ada kita bagi keistimewaan kepada warga Bangladesh. Apatah lagi dikaitkan dengan pilihan raya. Macam kita ini terdesak sangat nak minta orang seperti itu didaftarkan jadi warganegara dan nak suruh dia pergi undi. Kalaupun undi, dia masuk tong dan kita tak tau dia undi siapa pun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Makkal Sakti Malaysia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dI Kuala Lumpur, Ahad.

Laman web Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina hari ini menyiarkan laporan dengan memetik sumber yang mendakwa bahawa pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Pejabat Perdana Menteri Bangladesh itu dikatakan menerima pengesahan daripada sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia bahawa mereka diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu.

Menurut laman web itu, Hasina bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menurut sumber dengan kedudukan yang tinggi mendakwa Najib memberi jaminan menimbang isu itu ketika beliau (Hasina) berada di Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia 66 Ekonomi Islam di Kuala Lumpur pada bulan Mei 2010.

Justeru, Muhyiddin berkata, beliau akan meminta pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh menyemak perkara berkenaan sama ada ia benar atau tidak.

Sementara itu, Muhyiddin turut meminta rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara khususnya di kawasan yang tidak stabil supaya menyemak dengan pihak berkuasa di negara terbabit mengenai situasi terkini kawasan yang hendak dikunjungi.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu sentiasa berhati-hati ketika berada di kawasan tidak stabil kerana adakalanya situasi tidak diingini mungkin berlaku seperti kejadian letupan bom di Sungai Golok, Selatan Thailand yang mengorbankan empat nyawa termasuk tiga rakyat Malaysia terdiri daripada seorang kanak-kanak dan dua dewasa.

"Peringatan sentiasa diberikan dari semasa ke semasa tetapi masalahnya, bila kita berada di luar negara kita kurang pasti situasi sebenar, macam hal ini (letupan), kita tidak pasti keadaan di situ dan dikatakan kejadian ini seperti malang tidak berbau.

"Saya ucapkan takziah kepada keluarga yang ditimpa maut dalam kejadian di Golok. Saya harap kedutaaan kita di Bangkok akan ambil langkah yang sesuai untuk membawa pulang jenazah ke tanah air," katanya.

Letupan pada Jumaat lalu itu, turut mencederakan kira-kira 60 orang lain termasuk 19 rakyat Malaysia manakala dua rakyat Thailand dilaporkan dalam keadaan parah dan dirawat di Hospital Yala. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment