My Add

Tuesday 6 September 2011

Waris Datuk Onn ambil tindakan undang-undang

HISHAMMUDIN Hussein berkata, pakar sejarah, anggota keluarga Datuk Onn Jaafar dan pihak yang ada kaitan dengan insiden Bukit Kepong mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mendakwa komunis yang menyerang balai polis di situ adalah wira sebenar.

Laporan Berita Harian oleh Azrina Ahzan menyebut Hishammud yang juga Naib Presiden UMNO sebagai berkata, tindakan itu perlu kerana kenyataan Mohamad itu adalah lebih bermotifkan politik.

“Saya mengakui kadangkala polis terpaksa mengambil masa yang lama untuk menjalankan siasatan, oleh itu saya minta pihak yang berkepentingan sama ada keluarga Datuk Onn (Jaafar), Almarhum Tunku (Abdul Rahman) dan Persatuan Bekas Polis untuk bangkit dan mengambil tindakan terhadap Mat Sabu.

“Malah, saya juga akan mengadakan pertemuan dengan mereka kerana sebagai cucu Datuk Onn, saya turut rasa terkilan dan terasa dengan dakwaan Mat Sabu itu kerana menganggap ia berunsurkan politik,” katanya.

Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, pada 21 Ogos lalu, Mohamad dilaporkan berkata pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Mat Sabu mendakwa pasukan yang disertai Mat Indera bersama anggota pengganas komunis sebagai pejuang, sebaliknya pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar dan Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana kedua-dua tokoh terbabit adalah pegawai British.

Kenyataan Mat Sabu itu nyata mengguris hati dan menghina waris serta ahli keluarga yang terkorban dalam peristiwa Bukit Kepong berkenaan.

Malah, ramai bekas anggota keselamatan, termasuk Pegawai Waran 1 (B) Kanang anak Langkau, yang dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) tidak menyenangi kenyataan pemimpin nombor dua parti pembangkang berkenaan.

No comments:

Post a Comment