My Add

Tuesday 29 November 2011

Kaji sebelum ubah skim JUSA, Turus

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011:
KERAJAAN digesa membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melaksanakan cadangan yang membolehkan jawatan utama perkhidmatan awam peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Turus diisi kepakaran luar termasuk dari sektor swasta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, jika cadangan itu dilaksanakan, ramai pegawai kerajaan akan kecewa kerana mereka selama ini merupakan tonggak yang menjayakan dasar kerajaan.

"Mereka merangkak dari bawah untuk ke atas dengan pelbagai pengetahuan pentadbiran dan kerap mengikuti kursus serta memberi kursus. Mereka lebih faham agenda kerajaan dan memahami perasaan kakitangan awam.

"Apakah mereka yang memegang jawatan di sektor swasta seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tahu tentang perjalanan sektor awam? Oleh itu, jangan buat sesuatu yang terburu-buru. Bagi Perkasa ia tidak masuk akal. Jika berlaku pasti pegawai kerajaan kecewa," katanya kepada UtusanMalaysia di sini semalam.

Beliau mengulas cadangan untuk mengubah suai skim jawatan utama perkhidmatan awam peringkat JUSA dan Turus bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk.

Ia bermakna, pekerja sektor swasta yang berminat mengisi JUSA daripada JUSA C sehingga ke peringkat tonggak, Turus boleh berbuat demikian.

Utusan Malaysia difahamkan, jawatan yang terbabit boleh menjangkaui sehingga ke kedudukan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan ketua setiausaha (KSU) sesebuah kementerian.

Mengulas lanjut, Syed Hassan berkata, kemasukan pakar luar dan swasta ke sektor awam dibimbangi akan mewujudkan sikap pilih kasih oleh mereka yang diberikan jawatan tinggi.

"Mereka pasti akan mengutamakan penolong-penolong mereka yang dibawa masuk bersama. Jika KSU, mereka akan pandang rendah pegawai sedia ada dan mengutamakan pegawai bawahannya yang dibawa masuk dari luar," katanya.

Justeru menurutnya, Perkasa membantah cadangan tersebut kerana untuk ke jawatan penting dalam kerajaan, seseorang itu perlu bermula dari bawah seperti yang dilalui pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). = Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment