My Add

Tuesday, 29 November 2011

Perjuangan UMNO tegak syiar Islam

MELAKA, SELASA, 29 November, 2011: 
UMNO, yang menjadi tunjang parti pemerintah, secara berterusan menegakkan syiar Islam sehingga Malaysia kini menjadi sebuah negara Islam contoh, kata tokoh akademik. 

Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Datuk Prof Madya Dr Mizan Hitam, berkata sejak ditubuhkan pada 1946, UMNO tidak terpisah daripada perjuangan untuk memartabatkan Islam kerana UMNO adalah parti orang Melayu.

"UMNO itu parti orang Melayu dan Melayu di Malaysia tidak boleh dipisahkan daripada Islam, itu jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Melayu dalam Perlembagaan mesti beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Jadi rumusannya, orang Melayu di Malaysia dia beragama Islam manakala parti orang Melayu... sejarahnya ialah UMNO," katanya. 

Mizan berkata, dalam konteks sejarah kewujudan UMNO, tidak timbul parti itu tidak Islamik hanya kerana penubuhannya atas prinsip perjuangan Islam cuma dilabelkan atas nama perjuangan bangsa. 

"Pada peringkat awal, UMNO dan Pas berada dalam Perikatan... boleh saya katakan (kedua-dua parti mempunyai) ideologi politik yang hampir sama cuma yang bezanya UMNO berteraskan kebangsaan Melayu, Pas berteraskan perkataan Islam," katanya. 

"Islam adalah agama persekutuan, jadi bermakna UMNO mempertahankan agama Islam. Bila Islam menjadi agama persekutuan bermaksud UMNO ada kekuatan untuk memperjuangkan Islam tanpa ada rasa was-was dengan bangsa lain kerana itu hak dalam perlembagaan," katanya. 

Beliau berkata, dasar pembangunan yang dilaksanakan UMNO sejak kemerdekaan menjurus kepada pembangunan ekonomi dan pengurusan kekayaan negara yang selaras dengan ajaran Islam. 

Syiar Islam di negara ini terus berkembang dan mengangkat martabat Malaysia ke persada antarabangsa sebagai sebuah negara Islam yang berjaya, katanya. 

"Walaupun ia bersifat syiar Islam, Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa berkekalan sehingga hari ini, walaupun ia tidak ada dalam syariat Islam... tetapi syiar itu mengangkat martabat Malaysia ke persada dunia," kata Mizan. 

Beliau berkata, perjuangan UMNO dalam memartabatkan Islam turut menyaksikan kekuatan institusi agama dalam kerajaan diperkukuhkan dan proses Islamisasi dalam negara meliputi sistem pentadbiran, ekonomi dan kewangan negara. 

"... UMNO melalui kerajaan yang memerintah berjaya melaksanakan sistem ekonomi Islam, contohnya Bank Islam, sistem perbankan Islam, yang akhirnya bank konvensional juga menyediakan kaunter perbankan Islam... itu bukti yang saya fikir tidak boleh sesiapa nafikan," katanya. 

Mizan berkata, begitu juga dengan pewujudan Hab Halal yang bukan saja menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran produk halal tetapi turut membentuk ekosistem ekonomi Islam. 

Beliau berkata, konsep wasatiyyah atau sederhana yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah satu prinsip bernegara tentang bagaimana orang Islam menjalankan tanggungjawabnya dan memberikan hak kepada orang bukan Islam dalam hidup bernegara. 

Ini menjadikan Malaysia sebagai rujukan kepada negara lain, katanya. 

Mizan berkata, UMNO memberikan sumbangan besar dalam sistem pendidikan negara dengan menyediakan sistem pendidikan terbaik dan seimbang sehingga berjaya melahirkan tokoh yang menjadi pemimpin pelbagai organisasi, industri, kemasyarakatan untuk memacu pertumbuhan pembangunan negara. 

Mizan berkata, semua pimpinan UMNO juga mesti menjadi contoh kepada masyarakat sebagai tokoh pemimpin Islam di setiap peringkat. 

Bagi memenangi hati orang Melayu, beliau berkata pemimpin UMNO di semua peringkat mesti berada dalam organisasi masyarakat termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), jawatankuasa masjid dan surau untuk memastikan perjuangan UMNO terus relevan. 

"Ini penting kerana di sinilah kekuatan Melayu Islam. Kalau UMNO mula meninggalkan institusi masjid dan surau, kekosongan itu akan diisi oleh pemimpin parti lawan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment