My Add

Tuesday, 29 November 2011

BN terus dipilih, dikekalkan: Najib

NAJIB Tun Razak menyampaikan ucapan perasmian pada Forum Antarabangsa menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2011, semalam.  


KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011:
SECARA terus terang Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menegaskan betapa pentingnya Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO, terus dipilih dan diberi mandat lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagi Perdana Menteri mandat itu penting bagi meneruskan transformasi dan bagi membolehkan parti meneruskan semua agenda transformasi yang dijanjikan.

“Kita sudah memulakan perjalanan ini. Kita melaksanakan transformasi ekonomi, politik dan sosial.

"Sejak 65 tahun UMNO berjuang dan akan terus menerajui transformasi negara bersama rakan-rakan kita dalam BN dan kita akan meneruskan perjalanan ini menuju Wawasan 2020.

“Tetapi kita berdepan sedikit cabaran di hadapan kita.
Kita perlu melalui jambatan pilihan raya umum akan datang. Saya sentiasa menekankan bahawa amat penting untuk dipilih semula. Untuk kita menjayakan transformasi sebenar, kita perlu dipilih semula,” katanya.

Sebagai Presiden UMNO, Najib menegaskan demikian semasa merasmikan forum antarabangsa Transformasi Politik, Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pada forum yang dihadiri 80 delegasi mewakili 22 negara dan 25 parti politik termasuk dari Iraq, Jepun, Turki, Indonesia, Vietnam dan China, Najib turut berkongsi rahsia kejayaan negara.

Selanjutnya Perdana Menteri menghuraikan, Malaysia dapat berkembang maju sejak merdeka kerana berpegang kepada konsep perkongsian kuasa, membentuk kerajaan yang pragmatik serta memiliki wawasan mendepani masa. 

Menurutnya, kebijaksanaan pemimpin sebelum ini yang berwawasan dan membuat keputusan berani selain kesediaan parti untuk melakukan pembaharuan adalah rahsia yang menentukan kejayaan parti.

Malah, katanya lagi, kesediaan UMNO melakukan pembaharuan dan memiliki wawasan jitu bermula seawal tahun 1950-an apabila pemimpin ketika itu memutuskan untuk menguji formula perkongsian kuasa supaya pelbagai kaum di negara ini dapat disatukan menerusi struktur politik.

“Ketika itu, UMNO dan orang Melayu boleh melakukannya bersendirian. Kita boleh memutuskan untuk kita memerintah negara ini. Tetapi pemimpin lampau mempunyai wawasan dan keberanian untuk menyuarakan betapa kita perlu bekerjasama, semua kumpulan etnik di negara ini perlu bekerjasama,” katanya.

Najib menjelaskan, berikutan langkah berani itu, Malaysia berjaya mengelak konflik dan krisis perkauman seperti yang dialami banyak negara lain di dunia dan formula itu juga menyaksikan Malaysia menikmati kestabilan dan kelangsungan berkekalan.

Katanya, kesediaan UMNO untuk menerajui konsep ini turut menyaksikan parti itu diterima sebagai sebuah parti yang sentiasa relevan dengan perubahan masa, malah mendepani zaman.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan UMNO tidak boleh berbangga dengan kejayaan lampau kerana sebagai sebuah parti politik, ia perlu sentiasa peka terhadap sebarang perubahan landskap politik.

“Dunia sudah berubah dan hari ini, kita bergelut dengan cabaran baru dengan UMNO sebagai sebuah parti politik perlu meneruskan usaha untuk melakukan perubahan, melakukan islah dan melakukan transformasi supaya kita dapat dilihat sebagai sebuah parti yang dinamik. 

“Ini jugalah yang menjadi cabaran terbesar terhadap sesebuah parti yang sudah berkuasa sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata, selepas menempuh pelbagai era – bermula dengan perjuangan menuntut kemerdekaan, menentang Komunis, melaksanakan pembangunan serta memacu negara ke arah negara industri, UMNO kini terpaksa berdepan dengan era yang yang lebih mencabar.

“Ketika pemimpin sebelum saya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Wawasan 2020, wawasan baru negara pada 1993, ia membangkitkan semangat negara. Ia seumpama impian yang disuarakan Presiden Kennedy yang berkata ‘marilah kita hantar manusia ke bulan’ yang akhirnya memacu kemajuan Amerika Syarikat.

“Saya beritahu Dr Mahathir, anda melaksanakan bahagian yang mudah, iaitu melahirkan wawasan tetapi saya pula terpaksa berdepan dengan cara untuk melaksanakannya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Najib, kerajaan berjaya menemui kaedah untuk merealisasikan impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju, iaitu dengan memastikan pertumbuhan ekonomi enam peratus setahun, melabur sehingga RM1.4 trilion dalam tempoh 10 tahun akan datang, mewujudkan 1.2 juta peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan perkapita daripada RM22,387 kepada RM48,000.

“Ini adalah antara intipati yang perlu dilakukan, iaitu dengan meningkatkan pelaburan, menggalakkan inovasi, melakukan transformasi dalam kerajaan serta mengurangkan birokrasi selain meme-cahkan monopoli lama,” katanya sambil menyuarakan keyakinan impian itu mampu dicapai kerana kerajaan yang ditunjangi UMNO mempunyai pelan tindakan yang kukuh dan jelas.

Mengenai dakwaan kononnya pilihan raya di negara ini tidak adil, Najib sambil mencabar pihak yang membuat tuduhan itu supaya mengemukakan bukti, mempersoalkan jika pilihan raya boleh dimanipulasi, mengapa BN tewas di beberapa negeri.

“Mengapa kami tidak menang semua negeri jika betul anda menuduh kami memanipulasi (pilihan raya). Adakah anda fikir kami boleh memanipulasi ketika hakikatnya kami terpaksa melepaskan beberapa negeri penting,” katanya.

Najib menegaskan kerajaan tidak gentar dengan tuduhan itu, sebaliknya bersedia melakukan pembaharuan dan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya adalah satu daripada komitmen kerajaan untuk menambah baik proses pilihan raya.

Beliau berikrar pembaharuan politik akan dilakukan secara berterusan dan pelajar universiti turut dibenarkan menganggotai parti politik, tetapi kerajaan tetap dengan pendirian tidak membenarkan politik kepartian di universiti.

No comments:

Post a Comment