My Add

Tuesday, 29 November 2011

Speaker tegur wakil pembangkang cuba pertikai kredibiliti

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 NOVember, 2011: 
YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menegur beberapa wakil rakyat pembangkang yang cuba mempertikaikan kredibiliti beliau dalam pembahagian masa untuk berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, penentuan masa serta perkara berkaitan peraturan mesyuarat yang membabitkan Ahli Parlimen, semuanya bergantung kepada budi bicara Speaker yang mempengerusikan persidangan Dewan.

"Soal masa adalah budi bicara speaker...soal sama ada seorang wakil rakyat melanggar atau tidak (peraturan mesyuarat) atau apabila diminta Yang Berhormat yang lain (untuk tarik balik hujah), itu budi bicara speaker.

"Sejak bila pula budi bicara speaker kini boleh dicampur aduk oleh ahli Yang Berhormat sekalian...sejak bila? 

"Jadi, saya mohon kepada Yang Berhormat, kalau budi bicara itu tolonglah jangan campur aduk," katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 di sini. 

Pandikar juga menegaskan beliau tidak akan "beri muka" sekiranya ada Ahli Parlimen yang mengambil kesempatan untuk memanjangkan sesuatu isu atau pertikaian untuk kepentingan sendiri hingga menimbulkan kekecohan dalam dewan. 

"Ahli Yang Berhormat, kalau umpamanya saya silap di mana dalam peraturan mesyuarat tunjuk pada saya, ingatkan kepada saya, ajar saya tetapi kalau semua yang dibahaskan itu semata-mata untuk memanjangkan pertikaian sendiri, saya mohon maaf kerana setiap perkara yang saya sudah buat keputusan, saya tidak pandai semak kembali kerana keputusan saya adalah muktamad," katanya.

Pandikar menegur Tian Chua (PKR-Batu) dan R Sivarasa (PKR-Subang) yang mempertikaikan pembahagian masa antara Ahli Parlimen pembangkang dengan Ahli Parlimen kerajaan. 

Mereka mempertikaikan tempoh perbahasan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dikatakan menyebelahi pihak kerajaan apabila Pandikar memberi masa yang lebih kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sedangkan rang undang-undang itu dibentangkan kerajaan sendiri. 

"Mengikut peraturan 15, apa pun urusan yang ditetapkan oleh kerajaan itu yang terpaksa diberikan keutamaan," kata Pandikar menjawab pertikaian yang dibuat oleh kedua-dua Ahli Parlimen pembangkang itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment