My Add

Tuesday 29 November 2011

Majlis peguam desak parlimen tolak Akta Perhimpunan Aman

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011: 
MAJLIS Peguam menggesa semua ahli parlimen samada kerajaan atau pembangkang agar tidak meluluskan Akta Perhimpunan Aman 2011. 

Sebaliknya badan itu mahu rang undang-undang alternatif dipertimbangkan dengan merujuk kepada kajian jawatankuasa pilihan khas Parlimen. 

“Tiada pilihan lain. Jangan luluskan RUU Perhimpunan Aman 2011. Sokong rang undang-undang alternatif kami dan permintaan kami agar diadakan jawatankuasa pilihan khas Parlimen (bagi membincangkan undang-undang baru ini),” kata Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee dalam surat terbuka kepada ahli-ahli Parlimen semalam. 

Dewan Rakyat akan membahaskan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 esok selepas ia dibentangkan minggu lalu, lapor The Malaysian Insider. 

Majlis Peguam bercadang untuk mengadakan kempen Walk for Freedom 2011 membantah rang undang-undang itu dan menyerahkan memorandum syor pindaan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, hari ini.

Sejak dibentangkan, rang undang-undang itu yang akan dinamakan Akta Perhimpunan Aman sekiranya diluluskan, mendapat kritikan banyak pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. 

Ahli-ahli Parlimen pembangkang menyifatkan rang undang-undang itu digubal dengan tergesa-gesa dan menggesa agar ia ditarik balik daripada dibahaskan. 

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) juga mahu peruntukannya dikaji balik. 

Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini, Lim menambah bahawa Peguam membantah Akta Perhimpunan Aman kerana mengenakan sekatan-tidak munasabah dan tidak wajar ke atas kebebasan berhimpun yang dijamin perlembagaan. 

“Peruntukan-peruntukan dalam Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 lebih ketat berbanding undang-undang semasa seperti melarang protes jalanan dan kuasa tidak terhad pada pihak polis dalam menentukan masa, tarikh, tempat dan penjalanan perhimpunan,” katanya. - Keadilandaily

No comments:

Post a Comment