My Add

Monday 28 November 2011

BN tiada pilihan lain, perlu menang PRU13

KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 November, 2011:
BARISAN Nasional (BN) tiada pilihan selain perlu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kerana parti itu tidak pernah mempunyai pengalaman sebagai pembangkang di negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, setiap parti komponen BN terutamanya UMNO perlu berubah dalam erti kata sebenar untuk diterima sepenuhnya oleh rakyat.

“Sebab itu, saya tidak bersetuju kalau orang berpendapat UMNO perlu kalah terlebih dahulu untuk perubahan benar-benar berlaku dalam parti ini. Ini kerana, kita tidak pernah kalah pada PRU dan kita tidak tahu bagaimana untuk bangkit serta bertahan dalam situasi sebagai pembangkang,” katanya ketika berucap sebagai salah seorang ahli panel pada forum bertajuk Ke Arah Melahirkan Generasi Berintegriti anjuran Kelab UMNO Luar Negara, di sini semalam.

Ahli panel ;ain pada forum yang diadakan menjelang Perhimpunan Agung UMNO itu ialah Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh.

Dalam perkembangan lain, Khairy menambah, ahli UMNO perlu meningkatkan semangat setia kawan dan berdiri teguh di belakang ahli atau pemimpin yang diserang secara peribadi oleh pembangkang.

Beliau mengambil contoh dalam isu fidlot yang dihadapi oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil apabila ada ahli UMNO seolah-olah gembira dan lepas tangan dengan isu yang dihadapi oleh Ketua Wanita UMNO tersebut.

“Perasaan dengki sesama ahli UMNO sebenarnya masih wujud dan ini sangat berbeza dengan pembangkang kerana mereka cukup bersatu hati seperti dalam isu video seks Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun ada bukti dalam bentuk video,” kata beliau.

Berhubung peranan generasi muda dalam UMNO pula kata Khairy, golongan itu perlu sentiasa memahami perubahan yang berlaku dalam persekitaran semasa.

Ia katanya, mustahak dalam erti kata untuk golongan itu menawarkan agenda perubahan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan dan bukannya semata-mata menyokong perubahan yang dibawa kerajaan.

Sementara itu, Mohammad Khairun berkata, UMNO boleh meningkatkan integriti dalam kalangan rakyat jika aspek penyampaian dan pelaksanaan dasar dalam kerajaan benar-benar diberi perhatian. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment