KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
UGUTAN Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali untuk meruntuhkan kezaliman penjara sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan menggambarkan seolah-olah wujud usaha pakatan pembangkang bagi menjatuhkan institusi perundangan negara.
Pensyarah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, institusi perundangan negara tidak pernah menganiayai mana-mana pihak, sebaliknya hanya mereka yang terbukti bersalah selepas proses pendakwaan dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman.
Dalam konteks itu katanya, Anwar telah diberi peluang yang secukupnya untuk membela diri dengan diwakili bilangan barisan peguam yang banyak.
"Berasaskan bukti serta pembelaan saja, mahkamah akan memutuskan sama ada beliau bersalah atau sebaliknya. Adalah menjadi kewajaran bagi semua pihak termasuk Azmin sendiri untuk menerima keputusan mahkamah.
"Segala keputusan yang bakal diputuskan adalah bergantung kepada 100 peratus bukti ketika pendakwaan dilakukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Azmin yang mahu meruntuhkan kezaliman penjara sekiranya Ketua Pembangkang itu dipenjarakan ketika menyampaikan ucapan dasar pada majlis perasmian Kongres Nasional PKR Kelapan di Johor Jumaat lalu.
Tambah Shamrahayu, sebelum ini pakatan pembangkang menghina sistem kehakiman dan pendakwaan, tetapi kini mereka ke tahap lebih bahaya apabila berani mengutuk institusi penjara.
"Penjara tidak kena mengena dengan sistem kehakiman, sebaliknya hanya menjalankan tugas untuk menghukum pesalah bagi memastikan keadilan jenayah terlaksana dengan teratur," jelasnya.
Menurutnya, pakatan pembangkang seringkali melihat institusi itu sebagai tempat menghukum mereka tetapi tidak sedar bahawa penjara adalah untuk sesiapa yang bersalah tanpa mengira kedudukan serta parti yang diwakili mereka.
No comments:
Post a Comment