My Add

Monday, 28 November 2011

JPS Terengganu tambak Pantai Tok Jembal

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 28 November, 2011: 
JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu sedang menyiapkan kerja menambak kawasan Pantai Tok Jembal di sini yang mengalami hakisan teruk sejak tahun lalu. 

Pengarah JPS Terengganu, Mat Hussin Ghani, berkata kerja-kerja penambakan pantai sepanjang 450 meter itu membabitkan kos RM2.5 juta bermula sejak dua bulan lalu dan dijangka siap akhir bulan depan.

"Pantai dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke kawasan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sepanjang kira-kira 4.5 kiolometer yang kritikal mengalami hakisan sepanjang 1.5 kilometer.

"Yang kita tambak hanya sepanjang 400 meter iaitu kawasan hakisan yang sangat kritikal melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan. Kita harap kerajaan negeri dapat sediakan sedikit peruntukan untuk menyambung kerja-kerja menambak di sepanjang 200 meter lagi," katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Kawasan pantai Kampung Tok Jembal terjejas teruk akibat hakisan terutama pada musim tengkujuh setiap tahun. 

Pantai itu terhakis beberapa meter ke daratan hingga merosakkan jalan, manakala pokok serta pondok rehat kini ditenggelami air laut. 

Katanya, pihaknya bercadang untuk menambak keseluruhan pantai itu yang kritkikal sepanjang 1.5 kilometer melibatkan perbelanjaan RM7.5 juta. 

Beliau berkata, JPS Terengganu juga melantik perunding bagi mengkaji hakisan pantai dari Chendering hingga pantai Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan kajian dijangka siap sepenuhnya tahun depan. 

"Untuk pantai di sebelah lapangan terbang ini, kita sudah siap merangka pelan untuk sepuluh tahun akan datang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment