IPOH, ISNIN, 28 November, 2011:
PEMIMPIN politik dan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Perak kesal dengan tindakan pembangkang menghina Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dengan gelaran Zambry Hitam Metalik.
Mereka menyifatkan tindakan DAP itu sebagai menghina peribadi pemimpin yang tidak sewajarnya.
Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd. Rawi Abdullah berkata, pemimpin DAP memang bersikap rasis kerana tidak ada modal dalam politik.
Beliau berkata, penghinaan terhadap DAP terhadap Menteri Besar Perak adalah satu tindakan biadap untuk mencemarkan imej pemimpin BN.
“Mereka (DAP) jangan pandang hina kepada orang lain sebaliknya tengok diri sendiri kerana DAP pun ada pemimpin hitam.
“Rakyat seharusnya menilai pemimpin DAP yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadaikan maruah negara,” katanya di sini hari ini.
Yang Dipertua Perkasa Perak, Ahmad Zaini Ismail berkata, tindakan melebelkan Zambry dengan gelaran tersebut jelas menghina pemimpin.
Katanya, sebagai pemimpin DAP mereka tidak sepatutnya mengungkitkan peribadi seseorang.
“Jelas mereka tidak ada isu dan mereka adalah pemimpin rasis,” katanya.
Ahmad Zaini berkata, pemimpin DAP sepatutnya menolong rakyat dan bukannya mencaci peribadi orang lain.
No comments:
Post a Comment