My Add

Monday 28 November 2011

Faktor umur: Puteri UMNO `hilang’ hingga 20% ahli setahun

KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 November, 2011: 
PERGERKAN Puteri UMNO “kehilangan" sehingga 20 peratus anggotanya kepada sayap Wanita setiap tahun disebabkan faktor umur maksimum 35 tahun.

Bagaimanapun, Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, perkara itu tidak menjejaskan pergerakan yang sentiasa meningkatkan usaha menambah anggota.

"Saya akui perkara itu sebagai masalah kita yang jelas, tapi ia berlaku untuk perkara yang baik kerana apabila menyertai Wanita mereka akan menjadi lebih dewasa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Misi Bantuan Prihatin Bersama Skuad Vogue, di sini hari ini.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, sejak dilancarkan pada 2001 sehingga 20 November lepas, seramai 365,108 menyertai pergerakan itu dan daripada jumlah tersebut 289,818 adalah pemilih berdaftar.

Mengenai perhimpunan agung sayap kali ini, Rosnah berkata, kira-kira 970 perwakilan Puteri UMNO hadir dan antara fokus perhimpunan ialah persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Mengenai misi bantuan yang dilancarkan hari ini, Rosnah berkata, bantuan digerakkan melalui Skuad Vogue dan turut mendapat kerjasama daripada golongan artis menerusi Persatuan Karyawan Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia.

Misi yang mensasarkan 200 sukarelawan dari seluruh negara itu berperanan memberi bantuan kepada orang ramai ketika berlaku sesuatu bencana atau kecemasan seperti banjir yang berlaku di beberapa negeri ketika ini, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment