My Add

Tuesday, 29 November 2011

SYABAS, RAJD siap sedia bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011:
SYARIKAT Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) bersiap sedia dengan aset miliknya bagi membantu mangsa banjir dengan kerjasama Rejimen Askar Jurutera DiRaja (RAJD). 

Pengerusi Eksekutif SYABAS, Tan Seri Rozali Ismail, berkata menerusi misi bantuan menghadapi banjir itu, SYABAS menyediakan 30,000 botol air minuman lima liter dan 500 mililiter, 100 buah tangki air statik, 40 buah lori tangki air dan beberapa buah bot serta pekerja pakar dalam penyediaan air.

"Seramai 200 pegawai dan anggota dari Skuadron Tengah RAJD serta kakitangan SYABAS akan bersiap sedia untuk membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan yang ditimpa bencana," katanya kepada pemberita di sini.

Rozali berkata, misi itu akan memastikan pusat penempatan banjir mendapat bekalan air yang mencukupi dan mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat penempatan banjir juga akan dibekalkan dengan air bersih. 

"Pihak kami juga akan membantu membersihkan loji air di negeri terbabit banjir serta bekerjasama dengan anggota Angkatan Tentera Malaysia untuk memindahkan mereka yang terlibat dengan banjir. 

Beliau berkata, persiapan sudah dilakukan bagi memastikan segalanya mencukupi termasuk dari segi peralatan dan kenderaan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota misi itu terutamanya anggota 60 Rejimen Pakar Pengendalian Air RAJD yang akan digerakkan pada bila-bila masa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment