IPOH, SELASA, 29 November, 2011:
BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming memohon maaf kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir atas kenyataannya menggelarkan pemimpin itu 'Zambry Hitam Metalik'.
Sambil meluahkan rasa kesal mereka, rata-rata NGO berkenaan menyifatkan kenyataan itu tidak beradab selain menyentuh sensitiviti kaum di negara ini yang dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian yang terjalin.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, tindakan Kor Ming mengeluarkan kenyataan sedemikian secara jelas menunjukkan kedangkalan pemikiran pemimpin DAP sehingga sanggup mempersendakan keperibadian pemimpin lain.
"Kor Ming seharusnya cermin diri, jika diri sendiri juga mempunyai kelemahan mengapa mahu memperkecilkan keperibadian orang lain.
"Saya pasti jika kenyataan sedemikian keluar daripada mulut pemimpin Barisan Nasional (BN), pasti kita akan dituduh parti rasis dan dijadikan isu untuk menghentam semula kerajaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib pada sidang akhbar di luar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 baru-baru ini yang mendakwa Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming secara terang-terangan mempertikaikan warna kulit Zambry dalam satu ceramah Pas di Kamunting pada 9 September lalu.
Menurutnya, ungkapan biadab yang diucapkan oleh Kor Ming itu berbunyi: Perak ada Menteri Besar hitam metalik yang haram jadah itu masuk dari pintu belakang naik kapal selam dari Pangkor.
Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Muaamar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, permohonan maaf wajar dilakukan bukan sahaja kepada Zambry, malah kepada seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, kenyataan Kor Ming itu mencerminkan sikap kebudak-budakan pemimpin pembangkang apabila menjadikan isu fizikal pemimpin lain sebagai senda politik mereka.
"Tidak masuk akal bagi seorang pemimpin mencerca fizikal dan warna kulit orang lain lebih-lebih lagi terhadap pemimpin tertinggi negeri ini," katanya.
No comments:
Post a Comment