My Add

Tuesday, 29 November 2011

KPT mahu lahir ramai usahawan siswazah

KOTA BHARU, SELASA, 29 November, 2011:
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi menggariskan enam dasar bagi memantapkan pembangunan keusahawanan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi melahirkan modal insan berkualiti serta mempunyai nilai keusahawanan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Ab. Rahim Mohd. Noor berkata, antara dasar itu menubuhkan Pusat Keusahawanan di setiap IPT selain menyediakan pendidikan dan program keusahawanan yang terancang dan holistik.

“Dasar lain adalah memantapkan program pembangunan dan pengukuhan keusahawanan, mewujudkan mekanisme pengukuran yang berkesan, menyediakan persekitaran dan ekosistem yang kondusif bagi pembangunan keusahawanan serta mengukuhkan kompetensi tenaga pengajar keusahawanan,” katanya ketika berucap merasmikan program Kita Cakna Usahawan dan Kerjaya Kolej-kolej Komuniti Malaysia 2011 di sini, malam semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Mejar Prof. Madya Kamarudin Kasim.

Ab. Rahim berkata, dasar tersebut adalah usaha kementerian bagi melahirkan lebih ramai usahawan siswazah yang akan bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi negara ke arah mencapai negara maju menjelang tahun 2020.

“Program Cabaran Keusahawanan seperti yang dijalankan oleh Kolej Komuniti ini adalah antara program yang disusun secara terancang, perlu diteruskan bagi membentuk dan membudayakan nilai keusahawanan di kalangan pelajar serta melahirkan usahawan seperti yang dikehendaki oleh dasar tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment