My Add

Monday 28 November 2011

Mustafa: FDI melonjak 42 peratus

KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 November, 2011: 
PELABURAN asing langsung (FDI) Malaysia melonjak 42 peratus kepada RM26.4 bilion pada akhir september berbanding RM18.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Data terbaru Jabatan Perangkaan menunjukkan yang inisiatif kerajaan untuk merangsangkan pertumbuhan ekonomi telah membuahkan hasil, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Berdasarkan kepada aliran masuk FDI untuk tempoh sembilan bulan, kemungkinan yang jumlah FDI tahun ini boleh melepasi angka tahun lepas,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah FDI untuk 2010 ialah RM29.3 bilion, sementara dalam tahun 2009, ia berjumlah RM5 bilion.

Mustapa berkata, Malaysia telah menerima FDI yang kukuh dalam suku-suku pertama dan kedua tahun ini, masing-masing berjumlah RM10.1 bilion dan RM11.07 bilion.

Bagaimanapun, FDI untuk suku ketiga menyederhana kepada RM5.17 bilion, sebahagiannya disebabkan oleh iklim ekonomi luar yang lemah, terutamanya krisis hutang zon Euro dan kelembapan ekonomi AS.

Mengenai pelaburan persendirian, Mustapa berkata, kerajaan yakin mencapai sasaran RM94 bilion tahun ini.

Pelaburan persendirian untuk tempoh Januari-September berjumlah RM75 bilion seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment