Noh Omar dan Aziz Kaprawi (kiri) melawat tapak gerai pada Ekspo Agro dan Makanan Johor sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Johor di Kompleks Projek Pertanian Moden, Kluang, semalam.
KLUANG, SELASA, 29 November, 2011:
MALAYSIA dan Indonesia bakal menguatkuasakan undang-undang atau garis panduan baru untuk mengawal kawasan perairan masing-masing mulai Januari depan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, buat masa ini para pegawai dari Jabatan Perikanan kedua-dua negara sedang merangka garis panduan baru bagi menguatkuasakan undang-undang ke atas nelayan yang sejak kebelakangan ini sering menjadi isu sehingga menegangkan hubungan antara kedua-dua negara.
Noh berkata, setelah garis panduan itu lengkap, beliau selaku menteri akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan rakan sejawatan di Indonesia pada awal bulan depan bagi memperhalusi dan seterusnya memperakukan garis panduan tersebut untuk diguna pakai oleh kedua-dua negara.
"Dalam perbincangan itu kita akan mencari garis panduan atau formula baru iaitu bagi nelayan kedua-dua negara yang memasuki perairan yang statusnya belum diputuskan hanya dikenakan peringatan sahaja dan tiada tindakan seperti penjenayah.
"Menerusi garis panduan itu juga kita mencadangkan nelayan yang tulen dari kedua-dua negara yang telah memasuki kawasan perairan Malaysia dan Indonesia, hanya dikenakan tindakan merampas hasil tangkapan lautnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Ekspo Agro dan Makanan Johor 2011, di Kompleks Projek Pertanian Moden, Kluang di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Tani, Datuk Abd. Aziz Kaprawi dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) Mohd. Yusof Md. Salleh.
Menurutnya, prosedur baru yang dilakukan oleh Malaysia dan Indonesia ini adalah sebagai usaha proaktif kerajaan untuk membela nasib nelayan yang merupakan golongan miskin, agar tidak dikenakan tindakan di bawah Akta Perikanan.
Jelas Noh, berdasarkan Akta Perikanan 1995 pindaan 1993, nakhoda dan tekong boleh didenda sehingga RM1 juta, manakala awak-awak boleh didenda RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Katanya, segala usaha yang dilakukan oleh kementerian adalah rentetan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu prihatin dengan nasib nelayan negara ini dengan Perdana Menteri Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Lombok dan Bali baru-baru ini yang mana isu berkaitan antara kedua-dua negara wajar diselesaikan menerusi perundingan.
Terdahulu Noh ketika berucap pada majlis itu menyatakan rasa bangga dengan pencapaian sektor pertanian, ternakan dan perikanan di negeri ini yang sentiasa menunjukkan peningkatan bukan sahaja di peringkat negeri, kebangsaan malah global.
Sebagai contoh, kata Noh, sebanyak 30 peratus atau 163,750 tan metrik daripada 534,368 tan metrik sayur-sayuran negara dikeluarkan oleh sektor pertanian Johor.
Menurutnya, dalam bidang ternakan ayam daging pula, negeri ini mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 34.6 juta tan metrik, telur ayam (11.6 juta biji) dan menjadi pengeluar terbesar biri-biri dan kambing.
Tambah Noh, pencapaian negeri ini terus menyerlah dalam industri perikanan negara termasuklah ikan hiasan, ikan sangkar dan ternakan udang iaitu sebanyak 484.7 juta tan metrik dengan nilai RM847 juta. - Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment