My Add

Monday, 28 November 2011

Kerajaan Kedah perlu jelaskan keputusan roboh madrasah

YAN, ISNIN, 28 November, 2011:
KERJAAN negeri Kedah perlu memberi penjelasan terperinci kepada rakyat berhubung hasrat merobohkan Madrasah Salihiah di Kanchut, Alor Setar dan menyatakan lokasi ganti madrasah itu. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata langkah merobohkan madrasah itu membabitkan isu agama dan perlu diselesaikan sebaik mungkin oleh kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri perlu jelaskan tentang wakaf 'istibdal' iaitu wakaf ganti balik terhadap wakaf yang telah dibuat. Apa yang kita lakukan (Kerajaan Barisan Nasional) di Pulau Pinang, ada wakaf istibdal iaitu kita ganti balik dalam bentuk bangunan.

"Sebab itulah ada sekolah agama di Balik Pulau dibangunkan balik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana di Masjid Sultan Abdul Halim Muazzam Shah di Sungai Limau Dalam dekat sini hari ini. 

Beliau mengulas isu perobohan Madrasah Salihiah bagi membolehkan projek pembinaan Plaza Tunku Yaacob dijalankan. 

Jamil Khir berkata, walaupun pemaju yang membina bangunan bagi tujuan komersial akan menyediakan surau, ia berbeza dengan madrasah yang telah diwakafkan. 

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu perkara itu dijadikan isu politik, sebaliknya ia adalah isu agama yang wajar ditangani segera oleh kerajaan negeri. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya berbincang dengan beberapa perwakilan negeri yang akan ke Perhimpunan Agung UMNO esok bagi mendapatkan keseragaman isu agama untuk dibahaskan nanti agar ia mampu memberi impak positif terhadap usaha kerajaan. 

Katanya, perwakilan disaran agar mengetengahkan soal pembangunan dan kejayaan yang dicapai sekolah dan guru agama secara keseluruhan. 

"Ini medan untuk kita melihat kematangan setelah kita memimpin negara selama 54 tahun. Dalam konteks ekonomi, pembangunan sosial, pendidikan dan agama, ia telah membawa negara Malaysia pada kedudukan yang disegani di peringkat dunia, bahkan dalam konteks agama kita dapat pujian dari seluruh dunia," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment