My Add

Tuesday 29 November 2011

Kurdistan pelawa rakyat Malaysia melabur pelbagai bidang

KUALA LUMPUR. SELASA, 29 November, 2o11:
PARA pelabur Malaysia dipelawa melabur dalam pelbagai bidang di wilayah Kurdistan, kata Ketua Bahagian Asia Parti Demokratik Kurdistan, Abdulsalam I. Abdullah.

Beliau berkata, ribuan syarikat asing dari seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, Eropah, Asia, Arab dan negara jiran telah melabur dalam pelbagai sektor di negara itu.

"Kami amat memerlukan pelaburan asing dalam jangka masa yang lama, dan saya mempelawa rakyat Malaysia agar menyertai pelabur asing lain serta menikmati undang-undang pelaburan yang fleksibel Kerajaan Wilayah Kurdistan," katanya pada forum antarabangsa Tranformasi Politik Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini semalam.

Sementara itu, wakil Liga Awami Bangladesh, Kazi Zafrullah berkata, UMNO memainkan peranan dominan dalam politik Malaysia dan parti tunjang kerajaan itu dan Malaysia telah melalui beberapa perubahan bersejarah pada dekad lepas.

"Kami yakin rakyat Malaysia dan UMNO akan dapat menghadapi sebarang perubahan serta cabaran global dalam tahun-tahun mendatang," katanya.

Ketua delegasi Parti Pekerja Korea, Ri Chang Gun berkata, krisis kewangan dan hutang di seluruh dunia memberikan kesan negatif kepada politik, ekonomi dan kebudayaan serta bidang lain serta menjejaskan banyak negara terutamanya negara-negara membangun.

"Penggunaan tidak seimbang, spekulasi melampau, manipulasi kewangan dan pelbagai agenda kepentingan sendiri hanya akan meruntuhkan pasaran kewangan kapitalis dan menyebabkan kemelut ekonomi yang akan memberikan kesan secara langsung dan serius kepada negara-negara membangun," katanya.

Ri berkata, Parti Pekerja Korea akan memperkukuhkan kerjasamanya dengan beberapa negara bagi mencari penyelesaian masalah ekonomi dan kebajikan sosial di negara itu.

"Apa yang amat diperlukan Kerajaan Korea ialah persekitaran stabil dan aman kerana ia sedang berusaha sebaik mungkin bagi melaksanakan pembangunan mampan dan meningkatan taraf hidup rakyatnya," katanya.

Ri berkata, tidak dinafikan realiti pada hari ini bahawa masyarakat antarabangsa sedang mencari penyelesaian terhadap krisis ekonomi global yang meruncing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment