Muhyiddin Yassin berucap di hadapan para perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri pada perasmian perhimpunan ketiga-tiga sayap parti UMNO di Dewan Merdeka, PWTC semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
PERGERAKAN Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO dicabar membuktikan kata-kata mereka untuk berjuang mempertahankan parti dengan memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Sambil mengingatkan yang ‘ibu’ segala pilihan raya itu akan menentukan jatuh bangun umat Melayu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperturunkan peringatan khusus kepada ketiga-tiga sayap agar menggerakkan seluruh kekuatan untuk menghadapi situasi kritikal tersebut.
Dalam ucapannya ketika merasmikan serentak persidangan perwakilan pergerakan tersebut malam tadi yang bernada semboyan perang, beliau turut meniupkan semangat juang srikandi, panglima perang dan permata UMNO itu untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai benteng parti.
“Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabotaj. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan `mandikan’ calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan.
“Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihan raya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti,” tegasnya.
Sebagai sebuah organisasi, Muhyiddin mengakui UMNO ada kekurangan, namun parti itu sentiasa melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadaikan prinsip perjuangan.
Justeru, beliau berharap ketiga-tiga sayap itu tidak membiarkan parti bersendirian dalam meneruskan perjuangan yang juga jihad untuk agama, bangsa dan negara.
Untuk menjamin kekuatan parti, tegasnya, mereka perlu bersatu hati (wahdatul qalb), bersatu minda (wahdatul fikr), bersatu amal (wahdatul amal) dan bersatu matlamat (wahdatul hadf) serta pada masa sama, mengetepikan perbezaan dan persengketaan sesama sendiri.
“Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah ke seluruh 222 Parlimen, 576 Dewan Undangan Negeri dan 7,470 Pusat Daerah Mengundi. Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ianya akan menentukan kemenangan kita,” katanya.
Beliau mahu Pemuda, Wanita dan Puteri memberi tumpuan kepada masalah rakyat dan melunaskan tanggungjawab moral sebagai pejuang UMNO dengan membantu mereka.
“Membujur lalu melintang patah, jangan hanya dilaungkan tapi buktikan kita tidak rela membiarkan pembangkang terus menghina perjuangan parti kita.
“Kita tidak akan berganjak walau seinci daripada memastikan rakyat tidak diperdaya dan diperalatkan,” tegas MuhyiddiN. - Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment