My Add

Tuesday, 29 November 2011

DAP bankrap idea 'serang' peribadi pemimpin

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011: 
PEMIMPIN DAP sudah bankrap idea dan bersifat diskriminasi apabila menggunakan sifat peribadi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk 'menyerang' beliau.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, akibat kehilangan punca dan idea, DAP sanggup menggunakan sifat peribadi seperti warna kulit untuk menghina Zambry.

"Amat malang bagi perkembangan politik negara jika trend ini berterusan dan hanya melalui lunas perundangan perkara ini dapat dihentikan.

"Namun, peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948 tidak mencukupi untuk pihak berkuasa melakukan sesuatu, oleh itu saya berpandangan sekurang-kurangnya perlu ada lunas perundangan mematahkan gejala diskriminasi melalui ungkapan atau perbuatan," kata beliau kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Datuk Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak baru-baru ini mendakwa Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) mencaci peribadi Zambry dalam ceramah-ceramah beliau dengan menggelar Menteri Besar Perak itu 'Zambry Hitam Metalik'.

Menurut Rais, Seksyen 509 Kanun Keseksaan menyebut tentang kata-kata atau perlakuan yang bertujuan memberi malu terhadap seseorang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda dan penjara sehingga lima tahun.

Bagaimanapun, kata beliau, sehingga kini belum ada kes sedemikian yang dikemukakan oleh Peguam Negara selaku pendakwa raya.

"Harus disedari jika di negara maju mencerca seseorang mengenai warna kulit, agama, budaya, asal- usul dan keaiban lain dianggap sebagai melanggar hak asasi manusia dan boleh disabitkan di mahkamah.

"Kita melihat begitu banyak kepayahan berlaku dan dilakukan pada musim 'menumbangkan pagar' perundangan yang selama ini menopang keluhuran undang-undang dan ia harus diambil berat kerana jika api sudah naik ke bumbung, rumah berada dalam bahaya," katanya.

Tokoh akademik, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah pula berkata, sikap DAP bukan sahaja tidak beretika dan tidak profesional, malah dibimbangi akan memberi impak dan teladan yang tidak baik kepada generasi muda.


No comments:

Post a Comment